Karangan Sekolah Rendah - Ucapan/ Syarahan
Karangan Ucapan/ Syarahan
- Ucapan biasanya disampaikan pada majlis perasmian, perpisahan, meraikan seseorang, atau mengingati hari tertentu.
- Syarahan dibahagikan kepada dua; iaitu pertandingan dan bukan pertandingan.
- Format karangan syarahan tiada perbezaan yang ketara jika dibandingkan dengan ucapan, cuma biasanya syarahan disampaikan untuk pertandingan.
- Ucapan atau syarahan dimulakan dengan kata alu-aluan.
- Pada akhir ucapan murid digalakkan menulis puisi seperti pantun dan sajak untuk memperlihatkan kemantapan dalam berbahasa.
- Murid boleh menggunakan bahasa berbunga-bunga tetapi dalam keadaan terkawal, iaitu mengikut sasaran pendengar.
Contoh Karangan 1
Selamat pagi saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Cengal, guru-guru penolong kanan, guru-guru serta rakan-rakan yang saya hormati. Dalam perhimpunan kali ini, saya akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Bersama’.
Hadirin yang saya hormati,
Kebersihan sekolah hendaklah dititikberatkan dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang efisien. Murid dapat belajar dalam suasana yang selesa. Malah, imej sekolah juga akan meningkat seterusnya menjadi sekolah contoh.
Dalam usaha mencapai impian ini, murid hendaklah melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Murid tidak boleh lepas tangan, contohnya mereka tidak boleh membuang sampah di merata-rata. Usaha murid ini dapat memastikan sekolah bersih kerana mereka merupakan individu yang paling ramai di sekolah.
Guru-guru dan rakan-rakan,
Pihak pentadbiran sekolah hendaklah merancang pelbagai program dalam mendidik murid. Malah, tenaga kerja yang menjaga kebersihan sekolah perlu ada bersama-sama. Hal ini bagi memastikan wujudnya sistem pengkhususan yang tersusun.
Di samping itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru turut berganding bahu bagai aur dengan tebing. Ibu bapa harus menjaga oleh sebab institusi sekolah merupakan tempat anak-anak mereka menuntut ilmu pengetahuan. Ibu bapa boleh terlibat dalam aktiviti gotong-royong perdana yang diadakan di peringkat sekolah.
Saya sangat yakin bahawa kerjasama oleh semua peringkat, iaitu guru, ibu bapa dan murid dapat memastikan sekolah bersih. Sekiranya sekolah bersih akan menjadi kebanggaan semua. Setakat ini sahaja syarahan saya pada kali ini. Saya akhiri syarahan saya dengan pantun dua kerat,
Mak Milah memasang pelita,
Kebersihan sekolah tanggungjawab kita.
Sekian, terima kasih.
Contoh Karangan 2
Selamat pagi saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Cengal, guru-guru penolong kanan, guru-guru serta rakan-rakan yang saya hormati. Terlebih dahulu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana pihak majlis sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dalam majlis pada hari ini. Sebagaimana yang kita sedia maklum, majlis ini diadakan adalah untuk meraikan Cikgu Fara binti Ahmad yang akan menyambung pengajian tidak lama lagi.
Hadirin yang saya hormati,
Saya selaku Ketua Tahun 6 Mutiara ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada guru kelas Tahun 6 Mutiara. Cikgu Fara telah berkhidmat selama lima tahun dan sepanjang berbakti di sini, banyak kejayaan diraih oleh sekolah.
Beliau merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk kejayaan anak-anak muridnya. Beliau sentiasa ada dengan murid-murid dalam menyelesaikan masalah. Kami amat berbangga memiliki guru seperti beliau. Walaupun beliau lemah lembut, namun semangat Cikgu Fara sangat kental.
Para guru dan rakan,
Antara kejayaan yang diraih oleh sekolah berkat pertolongan Cikgu Fara ialah sekolah telah muncul sebagai Johan Pertandingan Pidato Tunas Cipta 2019 peringkat daerah. Selain itu, pasukan bola jaring sekolah bawah bimbingan beliau juga berjaya ke peringkat negeri. Tiada kata yang dapat diberikan atas sumbangan beliau. Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas kebaikan beliau.
Sebelum berundur diri, sekali lagi ucapan tahniah daripada warga sekolah. Segala nasihat dan bimbingan yang diberikan oleh cikgu akan kami patuhi. Akhir kata, saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas kesilapan yang pernah kami lakukan. Semoga cikgu beroleh kejayaan dan jangan lupakan kami. Terimalah serangkap pantun daripada kami,
Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Sungguh jauh beribu batu,
Hilang di mata di hati jangan.
Comments
Post a Comment