Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Pelbagai warisan nenek moyang kita semakin dipinggirkan oleh masyarakat terutamanya golongan muda. Hanya rakyat yang prihatin sahaja ambil peduli agar hayat permainan tradisional berkekalan. Salah satu khazanah kebudayaan kita yang semakin luntur dalam gaya hidup yang moden ini ialah permainan tradisional seperti congkak, wau, dan sepak raga. Situasi ini amat mendukacitakan memandangkan terdapat pelbagai kebaikan yang diperoleh sekiranya dipertahankan. Oleh itu, usaha-usaha menyedarkan generasi muda tentang kepentingan permainan tradisional perlu dilakukan dengan sepantas kilat oleh sebab kepentingannya terhadap masyarakat dan negara.
          Permainan tradisional merupakan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini demikian kerana permainan tradisional melambangkan adat, budaya, dan identiti sesuatu bangsa yang perlu dilestarikan untuk tatapan generasi akan datang. Hasil ciptaan nenek moyang kita juga merupakan satu seni budaya yang amat unik dan terunggul. Contohnya, wau bulan telah dihias dengan kertas warna-warni yang dilukis dan digunting dengan begitu cantik. Gasing pula dibentuk hasil ketekunan yang tinggi.
          Permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan yang signifikan dalam merancakkan sektor pelancongan negara. Selain bermatlamatkan untuk menyaksikan pemandangan alam semula jadi negara yang beriklim tropika dan merasai kelazatan juadah, para pelancong tidak ketinggalan menggali khazanah negara yang berbeza. Justeru, permainan tradisional berupaya memukau hati pelancong yang melawat Malaysia. Setelah diperkenalkan kepada pelancong, lazimnya mereka jatuh cinta dan turut bermain dengan seronoknya terhadap permainan tradisional. Benarlah, tidak kenal maka tidak cinta! 
          Selain menjadi aset negara dalam memajukan sektor pelancongan, permainan tradisional dapat mengukuhkan perpaduan kaum yang berbilang bangsa. Teknik permainan tradisional yang dimainkan secara berpasangan atau berkumpulan akan mencetuskan suasana muhibah dan harmoni dalam masyarakat. Senario ini jauh lebih baik daripada individu yang asyik bermain permainan video di kamar sendiri tanpa berinteraksi dengan orang lain. Hubungan dua hala antara pemain menjadi jambatan agar masyarakat mengenali budaya kaum lain.
          Tuntasnya, permainan tradisional bukanlah barang material yang boleh diperdagangkan. Oleh itu, generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan khazanah ini daripada satu generasi kepada satu generasi agar ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Walaupun zaman beredar dan kita perlu mengikuti arus semasa, tetapi segala warisan yang baik dan sejati perlu diperkukuh supaya bangsa kita tidak digelar sebagai bangsa yang tidak berakar umbi.

Copyright: 7 Ogos 2018, Shah Alam

Comments

  1. panjang patah perkataan ni berapa ?

    ReplyDelete
  2. panjang patah perkataan ni berapa ?

    ReplyDelete
  3. Boleh tolong saya buat karangan tentang kepentingan permainan tradisional dengan isi kandungan yang saya bagi

    isi kandungan:
    1. Warisan yang berharga
    2. Semakin dilupakan oleh masyarakat
    3.mengisi masa lapang
    4. Mengukuhkan tali silaturahim dan perpaduan
    5. Meningkatkan kecekapan fikiran
    6. Banyak kepentingan kepada rakyat dan negara

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka