Karangan SPM - Peranan Ibu Bapa dalam Menangani Gejala Sosial
Kisah haruan makan anak, penderaan, dan anak-anak yang terbiar bukanlah drama tetapi menggambarkan tiada lagi nilai moralisasi dalam jiwa ibu bapa. Kisah-kisah ini bukan lagi isu asing dan telah menghiasi dada akhbar arus perdana seolah-olah tiada titik noktah oleh sebab peningkatan jumlah kes dari semasa ke semasa. Anak-anak yang dilahirkan dengan separuh nyawa tidak lagi menjadi aset yang berharga. Semua ini dapat dibuktikan apabila terdapatnya anak kecil terbujur kaku dek perbuatan manusia yang bertopengkan syaitan. Malah, terdapat anak yang dijadikan batu loncatan untuk meraih kemewahan hidup apabila dipaksa bekerja di usia yang muda untuk menampung beban kewangan. Bayangkan, apakah yang akan berlaku terhadap masa hadapan mereka? Anak-anak yang sepatutnya menjadi permata hati terpaksa berhadapan dengan kehidupan yang amat menyeksakan. Keadaan ini boleh memberikan kesan negatif jangka panjang apabila anak-anak mula membawa diri dan terdedah kepada kebejatan moral seperti pergaulan bebas, vandalisme, dan lari dari rumah.
Ibu bapa merupakan kuasa besar yang berperanan menggerakkan kasih sayang dalam membentuk sebuah institusi kekeluargaan yang bahagia. Tuhan menganugerahkan kasih sayang kepada manusia agar setiap manusia merasai sebuah kehidupan yang indah. Hasil adunan kasih sayang daripada dua jiwa, maka lahirlah zuriat yang akan menjadi penyeri hidup bagi kedua-dua ibu bapa. Ibu bapa harus sedar akan tanggungjawab mereka untuk melengkapkan insan ini yang ibarat kain putih dengan corak yang tersendiri. Zuriat merupakan darah daging yang tidak boleh dizalimi dengan sewenang-wenangnya. Besar impaknya sekiranya kasih sayang yang bertunjang dalam hati ibu bapa terhadap anak-anak. Adakah akan berlaku krisis anak lari dari rumah, bergelandangan dan memilih rakan yang salah sekiranya fizikal, mental dan emosi mereka mendapat belaian kasih sayang yang mencukupi daripada ibu bapa? Jawapannya yang sudah pasti tidak ada! Anak-anak seperti ini akan sempurna dan seimbang rohani malahan sahsiah.
Tidak dapat dinafikan bahawa segala nilai murni dan sifat mahmudah yang ada dalam diri para nabi yang ditinggalkan kepada umatnya hendaklah dijadikan garis panduan oleh ibu bapa. Setiap ahli keluarga harus mencurahkan kasih sayang antara satu sama lain. Nasihat yang berhemah dan perkataan yang bersopan amat penting diamalkan oleh setiap ahli keluarga untuk mengelakkan pertengkaran. Semua elemen ini menjadi inti pati agar terbentuknya sebuah iklim keluarga yang positif. Anak-anak akan berasa mereka benar-benar disayangi dan secara tidak langsung dapat mengelakkan kes menconteng arang ke muka ibu bapa dengan melakukan perbuatan keji yang disiarkan di media massa dan media elektronik. Dapatkah kita bayangkan, apakah mungkin akan berlaku kepada seseorang anak untuk lari membawa diri seandainya sejak kecil merasai kehidupan di dalam rumah tangga yang diinaratkan sebagai syurga? Oleh itu, penyelesaian yang telah ditunjukkan dalam kaedah mendidik anak-anak yang berpaksikan agama dan moral hendaklah dijadikan pedoman kerana air yang jernih di hulu, justeru di muara pun tetap jernih.
Ibu bapa juga hendaklah berusaha mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Hal ini demikian kerana apa-apa yang dimakan akan mempengaruhi peribadi anak-anak. Tanpa membezakan mana-mana agama mahupun budaya yang diamalkan oleh masyarakat memandangkan Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk, tiada suatu pun yang haram boleh menatijahkan kebaikan. Justeru, ibu bapa hendaklah bertegas dalam semua hal-hal keagamaan terutama perkara berkaitan haram dan halal. Inilah terminologi utama yang menentukan kelahiran zuriat sama ada membawa rahmat atau musibah. Perkara-perkara dilarang dalam agama apabila menjadi kebiasaan dalam rumah tangga sudah tentu akan menjadi virus yang merosakkan minda dan akhlak anak-anak. Oleh sebab itu, ibu bapa mesti berwaspada terhadap unsur halal dan haram agar anak-anak tidak menjadi mangsa.
Pada era ledakan teknologi, ibu bapa haruslah lebih peka terhadap perubahan masa. Ibu bapa hendaklah seiring dengan perkembangan semasa seperti celik maklumat, celik teknologi, dan sensitif terhadap segala perubahan sosial. Keengganan sesetengah ibu bapa untuk bersama dengan anak-anak meneroka revolusi semasa akan mewujudkan jurang hubungan kekeluargaan yang dalam antara mereka. Terdapat ibu bapa yang mementingkan status quo seolah-olah anak-anak tidak mengetahui apa-apa. Seandainya perkara ini berlaku, tidak mustahil ibu bapa akan menjadi mangsa penipuan anak-anak sendiri. Ibu bapa perlu mengiktiraf bahawa anak-anak terlalu pantas menguasai teknologi, justeru mereka perlu didekati, dibimbing dan dan dinasihati secara berhikmah. Unsur-unsur pornografi, seks bebas, dan bersekedudukan boleh diakses dengan begitu meluas hanya melalui akses telefon pintar oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa hendaklah memantau anak-anak dan ingatlah akan sabda Rasulullah SAW, "Ajarilah anak-anakmu sesuai dengan zamannya, kerana mereka hidup di zaman mereka bukan pada zamanmu. Sesungguhnya mereka diciptakan untuk zamannya, sedangkan kalian diciptakan untuk zaman kalian".
Di samping itu, ibu bapa dan ahli keluarga terdekat haruslah memantau aktiviti anak-anak. Situasi pada hari ini amatlah ironi apabila dalam keluarga sendiri tidak bertegur sapa. Sewajarnya, ibu bapa tidak boleh terlalu eksklusif bahawa anak-anak mereka tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak sekiranya anak-anak melakukan kesilapan atau perbuatan negatif. Inilah malapetaka yang berlaku dalam institusi kekeluargaan abad moden apabila pengaruh material, pangkat dan darjat terlalu menguasai kehidupan. Terdapat anggapan bahawa mereka tidak perlu saling bergantung kerana semua keperluan sudah lengkap dan sempurna. Kesannya, anak-anak akan biadab, pembawa onar, vandalisme dan segala macam gejala sosial apabila mereka bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa pengetahuan ibu bapa.
Intihanya, semua pihak perlu melaksanakan tanggungjawab sosial dalam menangani kes ini dan berpegang teguh kepada konsep keluarga teras masyarakat. Dalam dunia yang semakin kompleks, kesepaduan dalam kalangan ahli keluarga akan menyelamatkan anak-anak daripada terjatuh ke dalam jurang kebejatan sosial. Masyarakat, badan bukan kerajaan, badan kerajaan, serta media massa dan sosial juga menjadi nadi mengatasi gelombang yang melanda pewaris negara. Benarlah, pembinaan sebuah keluarga memerlukan komitmen yang tinggi berdasarkan adunan ilmu, iman, akhlak dan sosial.
Copyrigt: 9 Ogos 2018, Shah Alam
Comments
Post a Comment