Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka
- Karangan yang memerihalkan atau menggambarkan apa-apa yang dilihat, didengar dan dialami oleh diri atau orang sekeliling.
- Karangan jenis ini memerlukan daya imaginasi yang tinggi.
- Pengetahuan yang luas tentang mengenai sesuatu pengalaman dapat menghasilkan karangan yang baik, logik dan bernas.
- Karangan ini memerlukan murid memerihalkan seseorang, pengalaman, sesuatu keadaan, sesuatu tempat atau pemandangan, sesuatu peristiwa atau acara, sesuatu benda dan lain-lain.
- Karangan ini tidak mempunyai format khusus. Namun, karangan jenis ini tidak dapat lari daripada disiplin karangan yang lazim, iaitu ada pendahuluan, isi-isi penting dan penutup.
- Perkara-perkara yang hendak digambarkan mestilah jelas, menarik, mempunyai perbandingan yang sesuai dan dapat memberikan kesan yang mendalam kepada pembaca.
- Murid digalakkan menggunakan bahasa yang lancar, kreatif dan menarik. Penggunaan dialog digalakkan di tempat-tempat yang sesuai.
- Murid digalakkan menggunakan unsur saspens secara terkawal untuk menimbulkan rasa cemas pembaca.
- Pada bahagian pendahuluan, anda bolehlah menceritakan peristiwa awal sebelum peristiwa utama berlaku.
- Pada bahagian penutup, anda digalakkan untuk menceritakan cara-cara peristiwa itu berakhir. Anda juga boleh menyatakan perasaan anda terhadap sesuatu peristiwa yang ditulis.
Tip Menulis Karangan
Setiap perenggan hendaklah mengandungi:
- Ayat Utama
- Ayat Huraian
- Ayat Contoh
- Ayat Penegas
Tip Mencari Isi Karangan
Pertanyaan melalui penggunaan kata tanya:
- Apa?
- Siapa?
- Bila?
- Mengapa?
- Di mana?
- Bagaimana?
Contoh Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka
Saya bersama dengan beberapa orang rakan melarikan diri daripada rutin harian dengan mengambil keputusan bercuti ke Melaka dengan percutian ala road trip untuk sehari sahaja. Ketika melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, kami bersarapan di kawasan rehat Seremban sebelum meneruskan perjalanan ke Ayer Keroh. Apabila kaki menjejakkan di Ayer Keroh, kami melawat Zoo Melaka yang mempunyai pelbagai kenangan semasa kami kecil, iaitu menjadi lokasi wajib percutian keluarga jika ke Melaka.
Selepas berada sejam di Zoo Melaka, kami meneruskan perjalanan ke Bandar Hilir. Jam masih menunjukkan pukul 10.00 pagi, jadi kami mengambil kesempatan bersiar-siar di kawasan tersebut dengan melawat beberapa tempat bersejarah seperti Kota A`Famosa, Gereja St Paul dan banyak lagi.
Kami juga berjalan kaki melalui jalan belakang menyeberangi Sungai Melaka, melalui Jonker Street dan Hard Rock Cafe Melaka menuju ke sebuah masjid yang dikatakan antara masjid tertua di bandar ini. Kami singgah makan tengah hari di kedai Asam Pedas Selera Kampung yang terletak bersebelahan bazar rakyat di Bandar Hilir. Untuk makan di sini agak mencabar kerana terlalu banyak orang yang turut sama ingin menjamu selera dan menikmati keenakan asam pedas yang popular di negeri ini.
Usai makan, kami bergerak ke Kampung Portugis yang menjadi tinggalan sejarah, yang masih kekal sejak penjajahan Portugis pada tahun 1511. Di sini, kami bertemu dengan rakan sekuliah yang juga merupakan orang Portugis Melaka. Dia menunjukkan kami sekitar kampung dan melawat muzium kampung yang terletak bersebelahan rumah ketua kampung. Ketika kami sampai, anak-anak kecil sedang berlatih menari tarian Portugis dengan irama Jingkli Nona. Di sini juga, kami dijamu dengan makanan Portugis.
Sebelum pulang ke Selangor, kami singgah di Pantai Klebang untuk merasai sendiri keenakan coconut shake yang terkenal. Percutian singkat ini berjaya melepaskan tekanan dan bebanan kerja. Kami akan ke sini lagi pada masa akan datang dan merancang percutian yang lebih baik. Pada masa tersebut kami akan menjelajah negeri bersejarah ini sama ada dengan berbasikal, beca atau berjalan kaki kerana pelbagai tempat yang terpencil dapat diteroka dengan mudah.
wah bagusnya, cuma kalu buat 6 perenggan lagi mantap.
ReplyDeleteMoga bermanfaat.
DeleteAlhamdulillah. Nota yang diberikan amat membantu bagi saya sebagai pelajar
ReplyDeleteGood🤭
ReplyDeleteSaya ingin menzahirkan ratusan, ribuan malah jutaan terima kasih kepada Sang Penulis kerana sanggup menghabiskan masa dan buah fikiran untuk memberi inspirasi kepada kami (f3) agar helaian peperiksaan kertas 2 kami, menjadi HEBAT dan MANTAP.
ReplyDelete