Karangan PT3 - Kelestarian Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama

Alam sekitar merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga.Namun begitu,kepincangan dalam pengurusan serta kurangnya kesedaran masyarakat berhubung isu ini membuatkan alam sekitar tercemar.


Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk memupuk murid-murid agar menjaga dan mencintai alam sekitar.

Meskipun sibuk menjalani rutin harian, namun kita perlu meluangkan masa berfikir langkah-langkah menangani pelbagai ancaman alam sekitar. Hal ini demikian kerana manusia telah menjadi subjek yang telah memusnahkan alam semula jadi yang begitu diperlukan demi kestabilan bumi dan generasi akan datang. Sifat materialistik yang ada dalam diri sesetengah pihak menyukarkan kita membendung masalah pencemaran alam. Dalam era globalisasi dan modenisasi, masalah pencemaran alam semakin serius di negara kita. Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa. Namun begitu, inisiatif yang dijalankan ini tidak membawa impak yang besar, malah masalah ini terus menular. Oleh itu, satu wahana yang konkrit dan pragmatik perlu disusun dan digagaskan untuk merungkai permasalahan yang semakin serius ini.
     Ibu bapa perlu memainkan peranan yang dominan dalam menerapkan cara hidup mesra alam dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa perlu menyalurkan pengetahuan tentang cara hidup mesra alam kepada ahli keluarga mereka. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengajar anak supaya tidak menggunakan beg plastik semasa membeli barangan keperluan. Sebaliknya, barangan tersebut dimasukkan ke dalam beg plastik kitar semula yang dibawa. Ibu bapa juga perlu mendidik anak supaya tidak melakukan tindakan yang mencemarkan alam sekitar seperti membuang sampah ke dalam sungai dan melakukan pembakaran sampah secara terbuka. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka menjadi individu yang mencintai suasana mesra alam pada masa hadapan. 
   Pihak sekolah juga haruslah mengadakan ceramah untuk menerapkan cara hidup mesra alam kepada murid. Pihak sekolah boleh mengundang tokoh yang berpengalaman untuk bersama-sama berkongsi pendapat yang berkaitan dengan cara hidup mesra alam kepada murid. Selain itu, guru haruslah menyalurkan mesej tentang peri pentingnya cara hidup mesra alam dengan menggunakan cara yang menarik dan tidak membosankan murid. Malahan, gotong-royong perdana peringkat sekolah hendaklah dijalankan dengan melibatkan semua murid supaya mereka sedar akan tanggungjawab menjaga alam sekitar.
    Sementelah itu, kerajaan juga merupakan antara pihak yang menyumbang kepada penerapan cara hidup mesra alam. Dalam konteks ini, pihak kerajaan boleh melakukan kempen sepanjang tahun termasuklah menampal poster yang berkaitan dengan cara hidup mesra alam pada dinding bangunan. Hal ini dapat memberikan ilmu kepada masyarakat Malaysia secara tidak langsung. Media pula boleh menyediakan lebih banyak berita berbentuk pemantauan alam sekitar secara berterusan untuk pengetahuan orang ramai. Pemaparan berita seperti ini penting bagi menambah pengetahuan dan persediaan masyarakat dalam menghadapi apa-apa juga kemungkinan tragedi alam sekitar. 
     Sebagai kesimpulannya, jika masyarakat mempunyai inisiatif melaksanakan tanggungjawab sivik dan sentiasa berwaspada terhadap pencemaran alam sekitar, maka secara kolektif kesan terhadap dunia adalah besar. Sudah menjadi inti kehidupan kita seharusnya mahir dan berpengetahuan untuk memenuhi cabaran menjadikan bumi sebagai satu persekitaran yang selamat dan cantik untuk generasi yang akan datang.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional