Analisis Lengkap Syair Bidasari
Dengarkan tuan suatu riwayat,
Raja di desa Negeri Kembayat, Dikarang fakir dijadikan hikayat, Supaya menjadi tamsil ibarat. |
Pengarang ingin mengisahkan sebuah
sejarah, iaitu kisah seorang raja yang memerintah Negeri Kembayat. Pengarang
mengarang dalam bentuk prosa. Tujuan hikayat dikarang supaya dapat menjadi teladan
kepada pembaca.
|
Ada raja suatu negeri,
Sultan halifah akas bestari, Asalnya baginda raja yang bahari, Melimpah ngadil dagang senteri. |
Di sebuah negeri terdapat seorang sultan
yang gagah perkasa lagi bijaksana. Pada asalnya, baginda ialah raja yang
cemerlang sebelum dilanggar geroda. Keadilan baginda dalam mentadbir telah
menggamit kedatangan para pedagang dan orang soleh.
|
Hairan orang empunya temasya,
Baginda itulah raja perkasa, Sangat tiada merasai susah, Entah pada esok dan lusa. |
Kegagahan dan kelangsungan
pemerintahan baginda memang mengkagumkan. Baginda tidak pernah mengalami
kesusahan. Namun, tiada sesiapa yang tahu tempoh keadaan itu akan berkekalan.
|
Seri sultan raja bestari,
Setelah ia sudah beristeri, Beberapa bulan beberapa hari, Hamillah puteri permaisuri. |
Kehidupan sultan yang bijaksana
bertambah bahagia apabila menempuh alam perkahwinan. Selang beberapa bulan,
permaisuri pun hamil.
|
Beberapa lamanya dalam kerajaan,
Baginda duduk bersuka-sukaan, Datanglah beroleh kedukaan, Baginda meninggalkan takhta kerajaan. |
Setelah beberapa tahun memerintah Negeri Kembayat dengan bahagia dan aman sentosa, dugaan datang melanda. Baginda
terpaksa berundur dari istana.
|
Datanglah kepada suatu masa,
Melayanglah unggas dari angkasa,
Unggas gurda sangat perkasa,
Menjadi negeri rosak binasa.
|
Pada suatu hari muncul seekor geroda
melayang di ruang angkasa Negeri Kembayat. Geroda itu telah melanggar negeri Kembayat
sehingga menimbulkan huru-hara dan kemusnahan.
|
Datanglah menyambar suaranya bahana,
Gemparlah sekalian mulia dan hina,Seisi negeri gundah-gulana,Membawa diri ke mana-mana. |
Geroda melakukan serangan dengan suara
yang bergema luar biasa. Semua rakyat Negeri Kembayat berada dalam keadaan
huru-hara dan kekalutan. Seluruh negeri tersangat sedih sehingga lesu.
Akhirnya, rakyat bertempiaran tanpa arah tujuan.
|
Baginda pun sedang dihadap orang,
Mendengar gempar seperti perang,Bertitah baginda raja yang garang,
"Gempak ini apakah
kurang."
|
Baginda bersemayam di balairung sambil
dihadap pembesar dan rakyat jelata. Apabila huru-hara bagaikan di medan
peperangan jelas kedengaran, baginda bertitah dengan nada yang tegas tentang
perkara cemas apa pula yang berlaku.
|
Jamilah Hj Ahmad (Penyelenggara)
Syair Bidasari, 1989
Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka
Tema
Cabaran yang dihadapi oleh pemimpin ketika mentadbir negara. Contohnya, Raja Negeri Kembayat berhadapan dengan serangan geroda ketika pemerintahannya.
- Keadilan dalam pemerintahan - Raja Negeri Kembayat menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama. Baginda melayan pedagang dan ulama yang datang ke Negeri Kembayat dengan baik
- Tanggungjawab semasa menjalankan tugas - Contohnya, Raja Negeri Kembayat merupakan raja yang bertanggungjawab kerana baginda cakna tentang masalah yang berlaku.
Gaya Bahasa
- Aliterasi - Beberapa bulan beberapa hari [pengulangan konsonan b]
- Asonansi - Mendengar gempar seperti perang [pengulangan vokal e]
- Bahasa istana - baginda; permaisuri
- Bahasa klasik - akas; ngadil; halifah; gurda.
- Inversi - Melayanglah unggas dari angkasa
- Simile - Mendengar gempar seperti perang
- Penggunaan kata ganda - bersuka-sukaan; gundah-gulana; mana-mana
Nilai
- Kebijaksanaan - Contohnya, Raja Negeri Kembayat merupakan seorang raja yang bijak dalam mentadbir urusan negara.
- Keadilan - Contohnya, Raja Negeri Kembayat menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama, iaitu melayan pedagang dan ulama dengan baik.
- Tanggungjawab - Contohnya, Raja Negeri Kembayat merupakan raja yang bertanggungjawab kerana baginda cakna tentang masalah yang menimpa rakyat.
Pengajaran
- Kita sebagai pemimpin hendaklah memerintah negara dengan bijaksana - Contohnya, Raja Negeri Kembayat merupakan seorang raja yang bijaksana.
- Kita sebagai pemimpin mestilah memerintah sesebuah negara dengan adil dan saksama - Contohnya, Raja Negeri Kembayat menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama dengan melayan pedagang dan ulama yang datang ke negeri baginda dengan baik.
- Kita hendaklah bertanggungjawab dalam setiap urusan atau pekerjaan - Contohnya, Raja Negeri Kembayat bertanggungjawab cakna masalah yang menimpa negeri baginda.
Praktis Klon SPM 1
Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)
|
Berdasarkan
syair tersebut, nyatakan satu peristiwa gembira sedih dan satu peristiwa malang yang berlaku di Negeri
Kembayat?
Berdasarkan syair tersebut, peristiwa gembira yang berlaku di Negeri
Kembayat ialah Raja memperoleh pewaris takhta kerjayaan. Manakala, peristiwa
malang pula ialan Negeri Kembayat diserang oleh geroda.
[2 markah]
|
(ii)
|
Sikap pemimpin memainkan peranan dalam pentadbiran negara.
Pada pendapat
anda, apakah kesan-kesan sekiranya pemimpin tidak bersikap adil dalam pemerintahan negara?
Pada pendapat saya, antara kesan sekiranya raja bersikap tidak adil
ialah rakyat hidup menderita dan sengsara. Seterusnya, akan berlaku
pemberontakan. Malahan, pemimpin juga tidak akan dihormati oleh rakyat.
[3 markah]
|
(iii)
|
Jelaskan dua nilai yang terdapat dalam
syair di atas.
Antara nilai yang terdapat dalam syair di atas ialah
keadilan. Contohnya, Raja
Negeri Kembayat menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama. Pedagang dan
ulama dilayan dengan baik oleh baginda. Selain itu, terdapat juga nilai tanggungjawab. Contohnya, raja
Negeri Kembayat merupakan raja yang bertanggungjawab kerana baginda cakna
tentang masalah yang menimpa negeri baginda.
[4 markah]
|
Comments
Post a Comment