Karangan SPM - Usaha-usaha Memesrai Alam Sekitar

Banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur, Kajang dan di kawasan bandar di Pulau Pinang. Ini antara contoh kesan pencemaran yang kerap berlaku di negara kita. Kejadian di bandar ini bukan sahaja berpunca daripada proses pembangunan yang rancak malah sikap kurang disiplin masyarakat yang gemar membuang sampah sarap ke dalam longkang menyebabkan longkang-longkang kerap tersumbat sehingga berlakunya banjir kilat. Oleh itu, meskipun masyarakat sibuk menjalani rutin harian, masyarakat perlu meluangkan masa berfikir langkah-langkah menangani pelbagai ancaman alam sekitar. Hal ini demikian kerana manusia telah menjadi subjek yang telah memusnahkan alam semula jadi yang begitu diperlukan demi kestabilan bumi dan generasi akan datang. Sifat materialistik yang terdapat dalam diri segelintir pihak menyukarkan usaha-usaha mengekang masalah pencemaran alam daripada terus berlarutan.
          Dalam era globalisasi dan modenisasi, masalah pencemaran alam ibarat penyakit barah yang perlu dirawat dengan kadar segera agar tidak merebak. Walaupun pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa, namun tidak membuahkan hasil yang besar memandangkan masyarakat melihat isu ini dengan sebelah mata sahaja dan tidak menghiraukan implikasi negatif yang bakal dihadapi oleh generasi masa hadapan. Melihat senario ini, persoalan yang bersarang dalam minda, tiadakah noktah penyelesaian bagi isu ini? Realitinya, harapan untuk melihat senario ini diselesaikan atau memastikan sekurang-kurangnya kesannya berada pada tahap minimum masih ada. Yang pasti, komitmen, kesedaran, dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan. 
     Aspek utama yang perlu diberikan penekanan ialah perubahan sikap. Masyarakat perlu mempunyai kesedaran sejak kanak-kanak supaya kesinambungan rasa cinta terhadap alam sekitar dapat diteruskan. Jepun, Korea dan Taiwan adalah contoh terbaik yang ­menerapkan pendidikan awal tentang kepentingan menjaga alam sekitar dengan mengaitkan tanggungjawab tersebut kepada kepercayaan atau agama masing-masing. Dalam perspektif ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang dominan dalam menerapkan cara hidup mesra alam dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa perlu menyalurkan pengetahuan tentang cara hidup mesra alam kepada ahli keluarga mereka seperti mengajar anak supaya tidak menggunakan beg plastik semasa membeli barangan keperluan. Sebaliknya, barangan tersebut dimasukkan ke dalam beg plastik kitar semula yang dibawa bersama-sama dari rumah. Ibu bapa juga perlu mendidik anak supaya tidak melakukan tindakan yang mencemarkan alam sekitar seperti membuang sampah ke dalam sungai dan melakukan pembakaran sampah secara terbuka. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka menjadi individu yang mencintai suasana mesra alam pada masa hadapan. Jelas di sini, pendidikan alam sekitar perlu diterapkan lebih awal, iaitu pada peringkat usia kanak-kanak bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah waktu rebung'.
          Pihak sekolah juga haruslah mengadakan ceramah untuk menerapkan cara hidup mesra alam kepada murid. Pihak sekolah boleh mengundang tokoh yang berpengalaman untuk bersama-sama berkongsi pendapat yang berkaitan dengan cara hidup mesra alam kepada murid bagi memberi pengetahuan tentang isu pencemaran yang semakin meresahkan masyarakat dan tapak pelupusan sampah yang kian terhad. Selain itu, guru haruslah menyalurkan mesej tentang peri pentingnya cara hidup mesra alam dengan menggunakan cara yang menarik dan tidak membosankan murid. Malahan, gotong-royong perdana peringkat sekolah hendaklah dijalankan dengan melibatkan semua murid supaya mereka sedar akan tanggungjawab menjaga alam sekitar. Di samping itu, guru bersama-sama murid hendaklah melaksanakan pelbagai aktiviti mesra alam seperti amalan kitar semula. Pendedahan Program kitar semula terhadap murid merupakan salah satu usaha terbaik kerana golongan ini ialah pelapis kepada kepimpinan pada masa akan datang.Secara tidak langsung, dapat memupuk semangat kecintaan kepada sekolah sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan mesra alam.
          Sementelah itu, kerajaan juga merupakan antara pihak yang menyumbang kepada penerapan cara hidup mesra alam. Dalam konteks ini, pihak kerajaan boleh melakukan kempen sepanjang tahun termasuklah menampal poster yang berkaitan dengan cara hidup mesra alam pada dinding bangunan. Hal ini dapat memberikan ilmu kepada masyarakat Malaysia secara tidak langsung. Media pula boleh menyediakan lebih banyak berita berbentuk pemantauan alam sekitar secara berterusan untuk pengetahuan orang ramai. Pemaparan berita seperti ini penting bagi menambah pengetahuan dan persediaan masyarakat dalam menghadapi apa-apa juga kemungkinan tragedi alam sekitar. Bagi kawasan industri, kilang, kedai dan kediaman yang dikenal pasti membuang sampah dan sisa buangan ke sungai-sungai di negara ini, mereka akan dikenakan caj selepas siasatan didapati mereka bertanggungjawab.
          Tuntasnya, wujud cabaran apabila hanya pendidikan di sekolah menjadi alat dalam menangani isu ini kerana masyarakat tidak boleh bergantung kepada pertolongan guru atau pensyarah semata-mata tetapi ibu bapa dan komuniti setempat perlu memainkan peranan. Sekiranya masyarakat mempunyai inisiatif melaksanakan tanggungjawab sivik dan sentiasa berwaspada terhadap pencemaran alam sekitar, maka secara kolektif kesan terhadap dunia adalah besar. Sudah menjadi inti kehidupan, masyarakat seharusnya mahir dan berpengetahuan untuk memenuhi cabaran menjadikan bumi sebagai satu persekitaran yang selamat dan cantik untuk generasi yang akan datang. Ingatlah, alam ini hanya pinjaman daripada generasi mendatang.
[Copyright: Srikandi Negara, 31 April 2018, 1.35 pm,  Kinrara] 

Sumber
·       Dewan Siswa, Memesrai Alam Sekitar, Februari 2016
·       http://www.utusan.com.my, Angkat Isu Alam Sekitar ke Tahap Tertinggi, 21 Februari 2017
·       http://www.utusan.com.my, Sungai Diancam Pencemaran, 18 April 2017







Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional