Gurindam Dua Belas (Fasal yang Ketiga)


Maksud

Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.

Apabila menjaga pandangan mata, perihal keinginan terhadap sesuatu akan berkurangan.


Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tidaklah damping.

Apabila menjaga pendengaran, perihal negatif dapat dihindarkan.


Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.

Apabila menjaga tutur, seseorang akan mendapat banyak kebaikan.


Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.

Seseorang perlu menjaga tangan daripada melakukan dosa besar dan kecil.


Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tiada senonoh.

Nafsu hendaklah dijaga agar dapat mengelakkan sebarang penyakit.


Anggota tengah hendaklah diingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat.

Hati hendaklah dijaga oleh seseorang agar dapat menjalani hidup dengan penuh semangat.


Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.

Anggota kaki hendaklah dijaga daripada pergi ke tempat-tempat tidak berfaedah.

























Mohd Yusof Md Nor dan Abdul Rahman Kaeh (Penyelenggara)
Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka



Tema

Nasihat memelihara anggota diri terhadap individu. Gurindam ini merujuk kepada nasihat agar kita sentiasa memelihara anggota diri yang dianugerahi Tuhan.



Persoalan

  • Persoalan manfaat memelihara penglihatan dalam kehidupan – Contohnya, mata haruslah dipelihara sebaik-baiknya supaya tidak melihat sesuatu perkara yang dilarang oleh Tuhan.  
  • Persoalan kebaikan memelihara tutur kata – Contohnya, seseorang yang menjaga tutur kata akan mendapat banyak manfaat. 
  • Persoalan kepentingan memelihara pendengaran – Contohnya, telinga perlu dijauhkan daripada mendengar segala hasutan dan kejian.
  • Persoalan semangat penting dalam kehidupan – Contohnya, kehidupan seseorang perlulah dijalani dengan penuh semangat.


Gaya Bahasa

  • Kata ganda – cita-cita; bersungguh-sungguh
  • Asonansi –  Daripada segala berat dan ringan; Apabila terpelihara mata
  • Aliterasi – Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan
  • Bahasa kiasan – Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fiil yang tiada senonoh


Nilai

  • Bijaksana – Kebijaksanaan dalam menuturkan kata-kata
  • Kesederhanan – Kesederhanaan ketika menghadap rezeki.
  • Kesabaran – Kesabaran memelihara mata daripada melihat perkara negatif.
  • Berbudi bahasa – Seseorang perlu menjaga tutur kata agar mendapat banyak faedahnya.


Pengajaran

  • Kita hendaklah menjaga penglihatan agar terpelihara daripada melihat perkara-perkara yang tidak baik.
  • Kita mestilah memelihara pendengaran kita agar dapat mengelakkan daripada mendengar berita yang tidak sahih atau fitnah.
  • Kita hendaklah menjaga anggota kaki agar tidak pergi ke tempat-tempat yang tidak berfaedah.

Praktis Klon SPM
Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.


Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tidaklah damping.


Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tiada senonoh.


Anggota tengah hendaklah diingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat.

Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.

Mohd Yusof Md Nor dan Abdul Rahman Kaeh (Penyelenggara)
Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka

(i)
Berdasarkan gurindam tersebut, nyatakan dua anggota badan yang perlu dipelihara selain telinga dan mata.
Berdasarkan gurindam tersebut, antara anggota badan yang perlu dipelihara selain mata dan telinga ialah hati dan lidah.
[2 markah]
(ii)
Kita akan memperoleh banyak kebaikan sekiranya menjaga tutur kata.
Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu menjaga  tutur kata dalam pergaulan?
Pada pendapat saya, kita perlu menjaga tutur kata untuk menjaga hati dan perasaan orang sekeliling. Malahan, kita akan disayangi dan disenangi oleh masyarakat Selain itu, dapat mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat.
[3 markah]
(iii)
Jelaskan dua nilai yang anda peroleh dalam gurindam tersebut.
Nilai yang saya peroleh dalam petikan gurindam tersebut ialah bijaksana, contohnya bijaksana dalam menuturkan kata-kata. Selain itu, terdapat juga nilai kesabaran, contohnya kesabaran memelihara mata daripada melihat perkara negatif.
 [4 markah]



Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional