Karangan Sekolah Rendah - Kawan Baik Saya
Pepatah Arab berbunyi, 'jika kita berkawan dengan pembuat minyak wangi kita akan berbau wangi, dan jika kita berkawan dengan pembuat besi kita akan terasa bahangnya'. Pepatah ini membuktikan bahawa kawan mempengaruhi kehidupan kita baik dari aspek perbuatan dan perkataan. Oleh itu, saya sangat berhati-hati dalam berkawan agar dapat memastikan saya sentiasa dikelilingi dengan orang-orang yang positif.
Tidak dinafikan, dalam banyak-banyak kawan, saya mempunyai seorang kawan baik. Sikapnya yang berfikiran positif dan terbuka dalam sesuatu hal membuatkan saya begitu selesa. Dia telah membuka hati dan mata saya agar berprasangka baik dengan orang sekeliling dan menerima segala baik dan buruk mereka. Nazirah, memiliki karekter yang lemah lembut dan sopan. Sikapnya sangat menyenangkan hati sesiapa yang mendekatinya.
Nazirah memiliki hati emas kerana gemar membantu orang yang berada dalam kesusahan. Dia dengan rela hati menggunakan masa dan tenaganya untuk bersama-sama anak-anak yatim dalam program kemasyarakatan. Dia tidak pernah berkata tidak pada siapa-siapa sahaja yang meminta pertolongan. Sikapnya yang mulia ini membuatkan kawan-kawan sayang akan dirinya.
Peminat kucing ini sangat bijak dalam pengurusan masa. Katanya, "masa itu emas". Justeru dia tidak suka membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Ulat buku ini sering meluangkan masa pergi ke perpustakaan dan ke pameran buku untuk menambahkan ilmu pengetahuan.
Jujurnya, saya sangat bangga memiliki kawan sepertinya. Keperibadian Nazirah telah mempengaruhi saya agar sentiasa kekal positif, berbuat baik dengan orang sekeliling dan bijak memanfaatkan masa. Harapan, semoga kami akan menjadi kawan baik bagai isi dengan kuku.
Comments
Post a Comment