Karangan Sekolah Rendah - Surat Kiriman Tidak Rasmi
M4-1-26,
Pangsapuri Idaman,
40000, Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.
18 April 2021.
Menemui sahabatku, Fara yang kini berada di Kuantan, Pahang
Darul Makmur. Semoga saudari dan keluarga sihat. Saya berada dalam keadaan sihat
walafiat di samping keluarga tersayang.
Saudari ,
Saya memohon maaf atas kelewatan
berkongsi pengalaman baharu setelah berpindah ke sini hampir dua bulan. Justeru, tujuan
saya menulis surat ini adalah untuk bercerita tentang sekolah baharu. Saya bersekolah
di Sekolah Kebangsaan Teruntum. Persekitaran sekolah saya sungguh cantik dan
bersih. Saya belajar dalam Tahun Enam Bestari.
Pada mulanya, agak sukar untuk saya
menyesuaikan diri di tempat baharu. Namun, alah bisa tegal biasa. Semuanya
makin bertambah selesa kerana rakan sekelas baik-baik belaka. Mereka
banyak membantu saya dalam pelajaran.
Di sekolah saya terdapat 45 orang
guru. Tuan Syamell ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teruntum. Guru kelas Tahun
Enam Bestari ialah Puan Hanani. Walaupun bersikap tegas, namun guru-guru di
sini baik hati.
Walaupun saya banyak mendapat rakan baharu, namun kenangan
bersama saudari tidak dapat saya lupakan. Maklumlah kita telah berkawan sejak
kecil. Hubungan kita sudah ibarat isi dengan kuku.
Sampai di sini dahulu warkah saya pada
kali ini. Saya berharap agar saudari tidak keberatan untuk membalas surat ini.
Semoga persahabatan kita akan terus berkekalan. Sehingga kita bertemu lagi pada
lembaran seterusnya. Jaga diri!
Sekian.
Yang benar,
Adlisya
Comments
Post a Comment