Kebaikan Penggunaan Pengangkutan Awam

Tulis sebuah karangan tentang kebaikan penggunaan pengangkutan awam. Panjangnya karangan anda hendaklah melebihi 180 patah perkataan.

Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit bagi memperbaik mutu pengangkutan awam di negara kita. Hal ini berikutan kesedaran betapa pentingnya pengangkutan awam seperti bas, transit aliran ringan, kereta api dan sebagainya terhadap masyarakat dan negara amnya.
     Antara kebaikan penggunaan penggangkutan awam dalam kalangan masyarakat ialah mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menghantui jutaan penduduk di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Shah Alam. Hal ini bertambah meruncing apabila tiba waktu puncak terutamanya waktu pagi dan petang. Sekiranya orang ramai bersepakat menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan jalan raya tidak berlaku.  
       Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga dapat mengurangkan masalah pencemaran udara. Indeks Pencemaran Udara (IPU) dapat dikurangkan apabila pengangkutan awam menjadi keutamaan pergi ke mana-mana destinasi. Apabila kenderaan semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida turut berkurangan. Kesannya, pencemaran udara dan kesan rumah hijau dapat dikurangkan. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera. 
     Kita juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan untuk pengangkutan. Tambang yang dikenakan bagi pengangkutan awam adalah murah dan berpatutan. Tambahan lagi, harga petrol semakin meningkat. Malahan, kita juga tidak perlu membayar harga parkir kereta dan tol. Wang peruntukan bagi bayaran tersebut boleh dijadikan tabungan bagi menghadapi waktu awasan seperti perubatan dan pengajian.
      Kesimpulannya, penggunaan pengangkutan awam di negara kita ini mendatangkan seribu manfaat buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan dijaga dengan rapi untuk memastikan kelangsungan penggunaannya.

Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional