Karangan PT3 1: Kepentingan Sektor Pelancongan terhadap Negara
Tulis sebuah karangan tentang kepentingan sektor pelancongan terhadap negara yang panjangnya lebih daripada 180 patah perkataan.
Perkembangan sektor pelancongan negara telah meninggalkan implikasi
positif terhadap ekonomi negara. Justeru itu, pelbagai usaha telah
dipergiat oleh kerajaan ekoran kebaikan diperoleh menerusi sektor ini. Peningkatan bilangan pelancong saban tahun membuktikan Malaysia bernilai 'emas' dan harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Antara kebaikan sektor pelancongan negara ialah kita dapat meningkatkan imej negara ke seantero
dunia. Contohnya, kejohanan perlumbaan kereta Formula1 di Litar Sepang, Langkawi International Maritime and Aerospace
Exhibition, dan MAHA International dapat mempopularkan negara kita dalam
kalangan pelancong asing. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa negara mampu
menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai
kemudahan prasarana.
Selain itu, sektor pelancongan juga dapat meningkatkan pendapatan negara. Mata wang asing akan masuk ke
negara kita apabila pelancong asing perlu menukar mata wang negara
mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum melakukan perbelanjaan.
Pengaliran masuk mata wang asing bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan
bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat
tempatan dari luar negara.
Tidak dapat dinafikan, sektor pelancongan juga dapat memperkenalkan keunikan budaya Malaysia
kepada dunia luar. Hal ini demikian, Malaysia merupakan sebuah negara
majmuk yang terdiri daripada kaum dan
etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Setiap
kaum ini mempunyai adat, budaya, dan cara pemakanan yang berbeza sehingga mampu
dijadikan jambatan kedatangan pelancong asing. Warisan budaya yang 'tak lapuk dek
hujan, tak lekang dek panas' dapat diperkenalkan ke serata dunia.
Intihanya, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan produktif
dari segi ekonomi terhadap negara kita. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama
dalam usaha
mempromosikan Malaysia di mata dunia supaya duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi dengan negara luar.
Comments
Post a Comment