Usaha-usaha Meningkatkan Minat Remaja terhadap Permainan Tradisional

Tulis sebuah karangan tentang usaha-usaha meningkatkan minat remaja terhadap permainan tradisional. Panjangnga karangan anda hendaklah melebihi 180 patah perkataan.

Kini, permainan tradisional seperti congkak, gasing, wau, dan sepak raga makin dipinggirkan oleh generasi muda ekoran kemunculan mainan baharu dan gajet-gajet moden. Usaha-usaha proaktif perlu dilakukan bagi meningkatkan minat remaja terhadap permainan tradisional agar tidak terus terpinggir.

Ibu bapa merupakan tunggak utama dalam menyemai sikap cinta akan permainan tradisional dalam diri anak-anak. Sejajar dengan itu, ibu bapa perlu mencorak anak-anak yang diibaratkan seperti kain putih dengan mendedahkan mereka tentang maklumat permainan warisan ini. Di samping itu, ibu bapa juga perlu membeli peralatan permainan tradisional seperti congkak, gasing, dan wau sekali gus mengajar anak-anak bermain permainan tersebut. 
Selain itu, media massa seperti stesen televisyen, radio, dan akhbar juga merupakan kuasa yang turut menjana peningkatan kesedaran golongan remaja meminati permainan tradisional. Pihak tersebut sewajarnya berkempen dengan menyiarkan iklan-iklan berkaitan permainan tradisional. Sebagai contoh, langkah beberapa stesen televisyen menyiarkan produk pelancongan di Malaysia menunjukkan komitmen Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menarik pelancong datang ke sesebuah tempat.
Manakala, pihak sekolah perlulah mewujudkan persatuan dan kelab permainan tradisional di samping melancarkan Minggu Permainan Tradisional seperti menganjurkan pertandingan gasing, congkak, atau permainan galah panjang. Permainan sebegini juga boleh diselitkan dalam majlis tertentu seperti sambutan Hari Guru. Pendekatan sebegini hakikatnya lebih efektif. Sesi pengajaran dalam kelas juga perlu diberikan perhatian. Tajuk permainan tradisional juga boleh dijadikan tugasan kepada murid contohnya bagi mata pelajaran sivik.

Kesimpulannya, ibu bapa, media massa dan pihak sekolah harus berganding bahu dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan permainan tradisional tidak pupus ditelan zaman. Pendekatan yang dilaksanakan oleh semua peringkat dapat memastikan golongan remeja cakna mengenai jati diri bangsa Malaysia yang terkenal dengan keistimewaan budaya daripada kaum majmuk.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional