Tujuan/ Kesan Pengambilan Makanan Tambahan
Pengambilan tablet makanan tambahan atau pil multi vitamin tanpa kawalan dos atau pengambilan dalam jangka panjang boleh mengancam kesihatan pengguna. Contohnya, pengambilan vitamin B6 dalam tempoh jangka panjang menyebabkan kerosakan saraf. Manakala pengambilan kalsium yang berlebihan pula boleh menjejaskan kesihatan jantung. Di samping itu, gabungan makanan tambahan dengan sesetengah vitamin mungkin menimbulkan tindak balas negatif yang memberikan kesan sampingan terhadap kesihatan pengguna. Pengambilan makanan tambahan tanpa menjalani diagnosis doktor dikhuatiri mengundang padah terhadap pengguna. Selain risiko kerosakan saraf dan risiko jantung, pengguna juga akan terdedah kepada risiko penyakit hati dan buah pinggang.
Terdapat pelbagai asbab setiap pengguna mengambil makanan tambahan yang boleh dikategorikan kepada beberapa jenis, iaitu vitamin, mineral dan multivitamin; merawat penyakit tertentu, berasaskan herba serta berasaskan minyak ikan. Majoriti pengambilan makanan tambahan berkait rapat dengan tujuan menjaga kesihatan. Antara sebab lain adalah untuk mengekalkan tahap kecantikan, melambatkan proses penuaan dan mengurangkan risiko serangan penyakit kronik.
Oleh sebab terlalu leka dengan pengambilan makanan tambahan, pengguna tidak melakukan pembacaan untuk menambahkan pengetahuan tentang kesan baik buruk pengambilan makanan tambahan. Hal ini misalnya, tidak semua makanan tambahan yang diambil oleh pengguna boleh diterima badan kerana sebahagian daripadanya disingkirkan dan berlaku pembaziran memandangkan harganya yang mahal.
Terdapat segelintir masyarakat terpengaruh dengan strategi pemasaran dan testimoni pengguna makanan tambahan yang lain sehingga mendorong mereka mengambilnya walaupun tidak ada tuntutan berbuat sedemikian. Tidak dapat dinafikan, kebanyakan pengguna mengambil makanan tambahan disebabkan oleh faktor kesibukan menguruskan kerjaya dan keluarga. Pada mereka, setidak-tidaknya makanan tambahan boleh memberikan tenaga untuk menjalani kehidupan seharian yang terlalu sibuk. Mereka juga beranggapan diet harian tidak lengkap dan tanpa menjalani pemeriksaan dan nasihat doktor, golongan ini terus mengambil makanan tambahan.
Sebagai masyarakat yang bijak, janganlah mudah terpengaruh dengan pengguna yang mengamalkan makanan tambahan untuk kekal sihat kerana penggunaannya belum tentu menjamin kesejahteraan seperti yang didakwa oleh pengeluar serta janji-janji manis di bibir menjaminkan hasil luar biasa terhadap kesihatan bakal pengguna yang dipancing. Ini berikutan kesan pengambilannya bergantung kepada tahap kesihatan individu dan dikhuatiri pengambilan yang tidak bersesuaian bakal mengundang kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan.
Justeru, rujukan awal amat penting bagi masyarakat yang ingin berjinak-jinak dengan makanan tambahan atau masyarakat yang berhajat mengambil makanan tambahan untuk memenuhi tujuan masing-masing bagi membolehkan doktor menilai tahap kesihatan mereka bagi mengenal pasti sama ada sesuai atau sebaliknya atau lebih tepat mengetahui makanan tambahan yang terbaik untuk diri. Sebagai contoh, dalam keadaan wanita hamil kekurangan nutrien dan mengalami keperluan mendesak, suplemen vitamin dan mineral membantu mengekalkan kesihatan ibu dan bayi. Selain ibu mengandung, individu yang disarankan mendapatkan nutrien termasuklah ibu yang menyusukan bayi, pesakit terlantar di hospital, kanak-kanak bermasalah tumbesaran dan warga emas kurang selera makan. Setiap pengguna mestilah bijak membuat keputusan dalam penilihan makanan tambahan yang sesuai untuk diri sendiri sebelum membawa padah.
Tuntasnya, sebelum pengambilan makanan tambahan, pengguna dinasihatkan agar bertemu doktor untuk diagnosis. Setiap individu juga perlu berusaha mendapatkan nutrien daripada sumber semula jadi, iaitu melalui diet seimbang tanpa bergantung harap sepenuhnya kepada makanan tambahan. Pilihan diet lengkap adalah daripada pilihan buah-buahan, sayuran, bijiran penuh, susu, ikan dan minyak. Pemilihan sajian sihat ini mencukupi untuk menampung keperluan nutrien harian. Contohnya, sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai vitamin, mineral, serat dan nutrien yang berupaya mencegah pelbagai penyakit.
Sumber: Suplemen Undang Kesan Sampingan, Berita Harian, 7 April 2018, Osman Lisut
Sumber: Makanan Tambahan Perlu Kawalan, Berita Harian, 4 March, Harlina Mohd Noor
Oleh sebab terlalu leka dengan pengambilan makanan tambahan, pengguna tidak melakukan pembacaan untuk menambahkan pengetahuan tentang kesan baik buruk pengambilan makanan tambahan. Hal ini misalnya, tidak semua makanan tambahan yang diambil oleh pengguna boleh diterima badan kerana sebahagian daripadanya disingkirkan dan berlaku pembaziran memandangkan harganya yang mahal.
Terdapat segelintir masyarakat terpengaruh dengan strategi pemasaran dan testimoni pengguna makanan tambahan yang lain sehingga mendorong mereka mengambilnya walaupun tidak ada tuntutan berbuat sedemikian. Tidak dapat dinafikan, kebanyakan pengguna mengambil makanan tambahan disebabkan oleh faktor kesibukan menguruskan kerjaya dan keluarga. Pada mereka, setidak-tidaknya makanan tambahan boleh memberikan tenaga untuk menjalani kehidupan seharian yang terlalu sibuk. Mereka juga beranggapan diet harian tidak lengkap dan tanpa menjalani pemeriksaan dan nasihat doktor, golongan ini terus mengambil makanan tambahan.
Sumber: Makanan Tambahan Perlu Kawalan, Berita Harian, 4 March, Harlina Mohd Noor
Comments
Post a Comment