Karangan Sekolah Rendah - Perpustakaan Gedung Ilmu

Melangkah kaki ke gedung ilmu atau sinonim dengan perpustakaan memberikan banyak kebaikan terhadap murid. Mengunjungi perpustakaan wajar dijadikan rutin kerana di situ terdapat pelbagai bahan bacaan seperti buku rujukan, majalah, surat khabar, ensiklopedia dan lain-lain lagi yang boleh dibaca secara percuma. Oleh hal demikian, sudah tentulah murid digalakkan mengunjungi perpustakaan. 
     Antara faedah mengunjung perpustakaan ialah murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Apabila murid membaca bahan bacaan yang tersedia di perpustakaan, mereka akan mengetahui tentang isu politik, ekonomi dan sosial sehinggalah peringkat antarabangsa. Ini akan meluaskan pengetahuan murid agar tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.
   Selain itu, pembacaan dapat menambahkan perbendaharaan kata murid. Ketika murid membaca buku rujukan, mereka akan menemui kosa kata baharu. Secara tidak langsung, ini akan membantu mereka menulis karangan dengan lebih baik. Malahan, mereka akan menjadi lebih yakin apabila berinteraksi dengan rakan-rakan.
   Di samping itu, murid boleh meminjam buku di perpustakaan dengan membuat kad perpustakaan dengan harga kos yang sangat rendah. Kesannya, murid tidak akan membazir wang untuk membeli buku dan wang itu boleh dijadikan tabungan ntuk kegunaan yang lebih penting pada masa akan datang.
  Tidak dapat dinafikan, murid dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang lebih berfaedah. Seterusnya, mengelakkan murid daripada membuang masa secara sia-sia kerana masa itu emas. Murid juga dapat enghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial seperti vandalisme, melepak, lumba haram, pergaulan bebas dan lain-lain.
 Intihanya, perpustakaan mempunyai banyak kebaikan terhadap murid. Perpustakaan menjadi tempat murid meluangkan masa membaca dengan tenang tambahan lagi membaca membaca jambatan ilmu. Oleh itu, tanamkan sikap suka mengunjungi perpustakaan agar kebaikan-kebaikannya itu dapat diperolehi murid.

Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional