Belajar secara Bijak


Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, akan kelihatan murid yang melompat kegembiraan setelah diumumkan sebagai Tokoh Murid Cemerlang dalam peperiksaan. Dalam erti kata lain, murid cemerlang tergolong dalam kalangan murid pintar, tetapi bukan semua murid pintar akan memperoleh keputusan yang cemerlang. Hal ini demikian kerana kepintaran murid dikategorikan kepada beberapa kelompok atau golongan. Ada murid yang pintar dalam mata pelajaran Sains, tetapi berbeza dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Ada yang pintar berkomunikasi tetapi tidak dalam kemahiran lain. Untuk menjadi murid pintar, mereka harus merancang jadual belajar kerana masa itu lebih berharga daripada emas. Perancangan cara belajar yang teliti dapat membantu murid belajar dengan konsisten sekali gus membantu murid memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang.
          Selain itu, murid perlu memberikan tumpuan sepenuhnya ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Mengikuti sesuatu pembelajaran di dalam kelas hanya akan berjaya apabila murid mempunyai minat yang bersungguh-sungguh untuk belajar. Semuanya terpulang kepada murid untuk menentukan kejayaan diri sendiri. Sebagai murid, mereka juga harus mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah. Aktiviti yang tidak berfaedah ini akan merugikan masa dan tenaga seperti bermainan permainan dalam talian secara berlebihan, melepak di pusat siber dan melakukan vandalisme. Murid juga perlu sentiasa berfikiran positif dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Jangan menjadi terlalu pasif dan menyorok kelemahan hanya atas alasan malu yang tidak bertempat, sebaliknya murid perlu berbincang dan menceritakan masalah kepada guru atau ibu bapa. Masalah yang melanda diri jangan dibiarkan berlanjutan kerana akan memudaratkan diri sendiri.
          Jika murid sedar akan kelemahan diri dalam sesuatu subjek, maka mereka perlu mengatasi kelemahan tersebut dengan menghadiri kelas tuisyen atau kelas tambahan. Mereka perlu bertindak pantas dalam memperbaik diri ke arah yang lebih baik. Secara tidak langsung, murid akan lebih memahami tentang sesuatu subjek yang sukar difahami dan seterusnya membantu murid untuk belajar dengan yakin. Di samping itu, banyak membaca bahan ilmiah juga boleh membantu murid menjadi lebih berilmu pengetahuan. Justeru, murid harus rajin ke perpustakaan untuk mendapatkan buku terbaharu. Murid juga boleh membentuk kumpulan belajar agar dapat berkongsi kepakaran yang dimiliki. Contohnya, apabila sekumpulan murid belajar dalam kumpulan, setiap orang dalam kumpulan tersebut pasti mempunyai pendapat atau jawapan yang berbeza.
          Murid juga perlu mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Mereka harus sentiasa positif dan bertanggungjawab mengatasi kelemahan diri supaya menjadi lebih yakin apabila berhadapan dengan sebarang situasi. Dalam komunikasi pula, mereka perlu meningkatkan kemahiran berbahasa dan berkomunikasi supaya maklumat yang bersarang dalam fikiran dapat disampaikan dengan jelas dan tepat. Dalam setiap komunikasi, murid perlu bersedia untuk menyampaikan idea yang bernas dengan menggunakan bahasa yang betul dan mudah difahami. Isi dan keterangan maklumat juga perlu relevan dan murid mestilah berkeyakinan tinggi untuk menyampaikannya. 

Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

PERIBAHASA - BANDINGAN