KARANGAN MENENGAH RENDAH 2022 - Rencana

 Sumber Bekalan Air Pemangkin Hidup 

Oleh: Aina Emir

Air amat penting demi kelangsungan hidup manusia. Hal ini demikian kerana sumber ini digunakan dalam hampir setiap aspek kehidupan manusia. Bukan sahaja diminum, bahkan air digunakan untuk membasuh, memasak, mandi, beribadat dan lain-lain.  Selain kegunaan domestik, air juga penting untuk memenuhi keperluan sektor ekonomi seperti perindustrian, perkilangan, pertanian dan lain-lain. 

          Walaupun air dapat memenuhi tuntutan manusia, namun dari sudut negatif air boleh membawa kemusnahan terhadap manusia. Kemusnahan ini berpunca daripada beberapa sebab seperti masalah banjir, banjir lumpur, pencemaran air serta hujan asid. Bencana ini hanya akan berlaku apabila manusia gagal menguruskan air dan alam persekitaran dengan berkesan. 

     Perbuatan manusia yang tidak menjaga alam sekitar memberikan kesan buruk. Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab seperti melakukan penebangan haram, penerokaan hutan secara berleluasa, menggondolkan tanah, membebaskan bahan pencemar ke dalam sungai akan membawa malapetaka kepada kehidupan manusia. Manusia akan berhadapan dengan krisis air pada masa akan datang.

          Namun, adakah manusia sedar akan hakikat kepentingan air dalam melestarikan kehidupan manusia sejagat khasnya dan hidupan lain umumnya? Adakah manusia tahu kepentingan memperoleh bekalan air bersih demi kesihatan? Adakah manusia mengakui bahawa untuk mendapatkan sumber air, alam sekitar perlu dipelihara dan dipulihara? Adakah manusia berusaha menjaga kualiti air? Apakah yang perlu dilakukan agar generasi akan datang memperoleh sumber air yang mencukupi dan  berkualiti? Inilah yang merisaukan apabila masyarakat masih lagi berada dalam lena yang panjang. 

      Janganlah sudah terhantuk, baru hendak terngadah. Sesuatu tindakan proaktif perlulah dilakukan bagi memastikan kuantiti dan kualiti air berada pada tahap optimum dan selamat digunakan. Oleh itu, perubahan cara hidup hendaklah dilakukan dengan kadar segera dan secara bersama. Didikan dalam kalangan anak-anak perlulah dilakukan sejak kecil bak peribahasa melentur biarlah waktu rebung. Ibu bapa merupakan kuasa terbesar yang bertindak sebagai suri teladan kerana pendidikan awal bermula dari rumah. Media elektronik dan media massa memainkan peranan untuk menyebarkan pelbagai maklumat yang berkaitan dengan air. Kerajaan pula mestilah proaktif melakukan kempen pada semua peringkat agar kempen dilakukan secara menyeluruh. 

Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka