Karangan SPM Bahagian B - Kesejahteraan Siber Tanggungjawab Bersama


Kesejahteraan Siber Tanggungjawab Bersama

Bukan lagi perkara biasa apabila mata dihidangkan dengan pemandangan sekelompok remaja atau sekumpulan dewasa yang terdiri daripada rakan taulan malahan satu keluarga dudukDE bersama-sama tetapi tidak berkomunikasi antara satu sama lain. Mereka asyik menggunakan gajet dan peranti digital masing-masing. Situasi sebegini membuktikan bahawa masyarakat lebih selesa untuk berkongsi dan bertukar maklumat serta meluahkan perasaan di alam siber daripada di dunia realiti. Amalan bersosial seperti ini pastinya mengundang kebimbangan dan semestinya tidak menyihatkan. Inilah permasalahan pada era digital yang dikenali sebagai ‘digital drug’ yang berlaku apabila seseorang individu menghabiskan masa lebih dari empat jam menggunakan Internet untuk sesuatu perkara yang tidak ada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran.
    Di Malaysia, Kajian Pengguna Internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati, purata tempoh melayari Internet adalah selama 6.6 jam sehari, iaitu 93.1 peratus pengguna mengakses Internet melalui telefon pintar. Golongan belia pula memperuntukkan secara purata lapan jam sehari berada dalam talian. Penggunaan Internet ekstrim boleh mengakibatkan pengguna Internet ketagihan sehingga mengancam kesihatan fizikal dan mental. Pengguna Internet juga terdedah ancaman siber seperti penipuan dalam talian (fraud), gangguan siber, kecurian identiti, buli siber dan spam sehingga mengakibatkan kerugian dan kemudaratan. 
    Terdapat kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun mulai bermain gajet atau peranti digital seperti tablet dan telefon pintar, seolah-olah peralatan ini menjadi peneman. Lebih membimbangkan jika penggunaan Internet oleh si cilik dan remaja tidak dipantau oleh ibu bapa atau penjaga. Selain ketagihan Internet, tiga jenis ancaman siber lain berupaya mengancam keselamatan kanak-kanak adalah seperti buli siber, pengaruh media sosial dan jenayah siber. 
    Menyedari wujudnya ancaman dan jenayah siber semakin berleluasa, usaha perlu digembleng bagi meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan Internet secara positif dan beretika. Salah satu inisiatif diambil Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) adalah melalui penerbitan Buku Panduan AWASpada. Buku Panduan AWASpada bermatlamat memberikan kesedaran kepada pengguna media sosial dan permainan dalam talian, mengenai kesan negatif jika tidak digunakan secara bijaksana dan berhemah. Ini antara usaha menyedarkan masyarakat, terutamanya golongan murid dan remaja bahawa mereka perlu bersikap AWAS terhadap penggunaan media sosial dan permainan dalam talian. Dengan pemahaman betul mengenai tatacara melayari dan menggunakan media sosial dan permainan dalam talian, golongan ini terhindar daripada melakukan jenayah siber atau menjadi mangsa jenayah siber. 
    Oleh itu, menerusi pelbagai program pendidikan, Kementerian Pendidikan hendaklah menyasarkan untuk membekalkan warga sekolah dengan pengetahuan dan kemahiran mengenai penggunaan digital yang beretika serta langkah pencegahan terhadap risiko siber. Hal ini sekali gus membolehkan kebebasan penggunaan Internet secara beretika bagi generasi akan datang. Ibu bapa dan kanak-kanak sedar potensi risiko seperti buli serta rangsangan siber selain mengambil langkah keselamatan memandangkan kanak-kanak kini mendapat akses Internet pada usia lebih awal. Langkah ini bertujuan untuk mendidik dan menghubungkan kanak-kanak mengenai tingkah laku serta kesedaran digital bertanggungjawab terhadap pelbagai risiko Internet yang dihadapi golongan itu. 
    Program yang dianjurkan pada peringkat sekolah juga dapat menghubungkan guru dan ibu bapa untuk membantu murid-murid belajar berkenaan amalan dan etika penggunaan Internet yakni segala bentuk laman sosial dalam talian yang selamat seterusnya melahirkan warga digital yang positif. Pameran yang dilaksanakan pada setiap peringkat dapat memberikan inspirasi dan memastikan pengalaman Internet yang mesra keluarga dan selamat untuk semua, terutama kanak-kanak dengan membina daya tahan digital dan memupuk mereka sebagai warga digital yang bertanggungjawab. Menjadi sebahagian daripada inisiatif kempen untuk melindungi golongan muda daripada peningkatan risiko ancaman siber dengan membina daya tahan digital selain memupuk kewarganegaraan digital dengan menggalakkan penggunaan positif Internet. 



Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka