Karangan SPM Bahagian A

Mutakhir, nilai-nilai murni mulai terhakis dan dipandang sepi. Walhal, nilai-nilai murni boleh memartabatkan murid untuk membentuk sebuah masyarakat kelas pertama yang berteraskan prinsip mulia sama ada dalam agama, komuniti bangsa dan negara. Murid yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian merupakan masyarakat yang bertamadun. Sekiranya murid diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, jujur dan amanah, secara tidak langsung akhlak yang mulia dapat dibentuk.

    Penerapan nilai-nilai murni dalam diri murid jelasnya dapat memastikan perpaduan dalam kalangan murid yang berbeza agama dan budaya. Sekiranya murid yang mempunyai sahsiah diri terpuji, maka keharmonian kaum dapat digapai. Nilai menghormati agama anutan seperti pusat ibadat dan amalan dapat mengelakkan rakan daripada berkecil hati, berprasangka dan marah memandangkan hal ini sangat sensitif. Secara tidak langsung, sentimen yang mengancam perpaduan dapat diatasi. 

    Malahan, nilai-nilai murni yang ada dalam diri murid dapat mengelakkan vandalisme. Murid tidak akan melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan atau mengotorkan harta benda sekolah mahupun awam. Tidak akan ada  tandas yang kotor atau pintu serta dinding diconteng dengan tulisan tidak sepatutnya sehingga meninggalkan persepsi negatif. Sekiranya harta benda dan persekitaran dapat dijaga dengan baik, semua murid dapat belajar dalam suasana kondunsif dan selesa.

    Tidak dapat dinafikan, nilai-nilai murni dapat melahirkan murid yang cemerlang dari segi sahsiah dan rohani. Nilai-nilai murni yang dijadikan komponen dalam mata pelajaran Pendidikan Moral perlu diperkukuhkan dengan penekanan terhadap kepentingan pembelajaran dan pengamalan nilai-nilai tersebut. Budaya menghafal nilai-nilai murni hanya untuk lulus mata pelajaran Pendidikan Moral tidak sepatutnya berlaku kerana sepatutnya nilai-nilai tersebut perlu diaplikasikan dalam setiap tindakan. Buktinya, murid susah, malas dan tidak tahu mengucapkan ‘terima kasih’ apabila menerima pemberian seperti hadiah, pertolongan, perkhidmatan dan nasihat. Secara umumnya, masih banyak murid tidak mengamalkan nilai-nilai murni ini walaupun telah mempelajarinya di sekolah.

    Intihanya, usaha untuk membugar kembali nilai-nilai murni dalam kalangan murid memerlukan pelibatan semua pihak dan dimulakan sejak kecil bagai peribahasa 'melentur biarlah waktu rebung'. Ia bukan sekadar retorik atau isu bermusim tetapi nilai-nilai murni seharusnya menjadi satu budaya dalam kalangan murid. Kempen mempromosikan nilai-nilai murni perlu dilakukan di sekolah. Ibu bapa pula perlulah meluangkan lebih banyak masa untuk mendisiplinkan dan membesarkan anak-anak. Masyarakat perlu ingat bahawa usaha membudayakan nilai-nilai murni bukan terletak pada bahu kerajaan semata-mata tetapi menjadi kewajipan setiap masyarakat. Setiap lapisan masyarakat mesti bertanya pada diri sendiri sama ada mereka telah melakukan yang terbaik untuk menjayakan pelbagai kempen mempromosikan nilai-nilai murni.

Comments

  1. Online Casino | Play with €/£1k Bonus - CasinoBeats
    CasinoBeats - the online casino and betting site for the best 바카라사이트 games kadangpintar and the best bonuses 인카지노 online! Get €/£1K in free chips!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka