Teks Pertandingan Perbahasan (Karangan PT3) - Tinggal di Desa Lebih Baik Tinggal di Bandar


Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, pihak pencadang dan hadirin yang saya hormati sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini sebagai pihak pembangkang untuk mematahkan hujah pihak pencadang bahawa tinggal di bandar lebih baik daripada tinggal di desa. Sebelum saya lontarkan hujah-hujah, saya bertegas bahawa segala hujah yang dikemukakan oleh pihak pencadang adalah tidak benar sama sekali.

Hadirin yang sama hormati,
     Hujah pertama, kos sara hidup di luar bandar lebih rendah daripada bandar. Penduduk luar bandar yang hanya boleh mendapatkan keperluan tersebut di sekeliling rumah. Penduduk luar bandar tidak perlu membayar satu sen pun kepada peniaga. Manakala, penduduk bandar terbeban dengan masalah kewangan apabila perlu membeli semua barang keperluan termasuk ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Tambahan lagi, harga barang di bandar meningkat kerana diperoleh daripada orang tengah.

     Hujah kedua, hubungan dengan jiran tetangga lebih erat di desa. Masyarakat desa saling mengenali antara jiran, bertegur sapa dan ziarah menziarahi. Malahan, mereka juga saling membantu sekiranya berlaku kesulitan. Kehidupan mereka bagai aur dengan tebing. Situasi ini tidak berlaku dalam kalangan penduduk bandar yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Hadirin yang saya hormati,
    Hujah ketiga saya, masyarakat desa kurang terdedah dengan pencemaran alam seperti pencemaran udara, pencemaran bunyi dan pencemaran bau. Masyarakat desa hidup dalam persekitaran yang bersih. Kesannya, mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Berbanding di bandar, masyarakat terdedah dengan pencemaran udara akibat pembebasan asap daripada sektor perkilangan atau perindustrian dan asap daripada kenderaan seperti kereta dan motosikal. Jelas sekali masyarakat desa lebih beruntung hidup dalam suasana yang kondusif.

     Hujah keempat saya para hadirin yang dikasihi, masyarakat desa kurang tekanan hidup. Mereka tidak perlu berhadapan dengan bebanan kerja yang melampau, ganjaran yang tidak setimpal, melakukan pelbagai jenis pekerjaan dalam satu masa, kerenah birokrasi pejabat dan pengangguran. Malahan, masyarakat desa tidak perlu berhadapan dengan tekanan perjalanan untuk menuju ke tempat seperti yang berlaku di bandar, khususnya di Kuala Lumpur. Selain itu, beban kewangan, peningkatan kos sara hidup yang tinggi tanpa kawalan dan masalah hutang turut memburukkan tekanan.

     Hujah-hujah ini jelas membuktikan tinggal di desa memberikan banyak kebaikan berbanding tinggal di bandar. Sekian, terima kasih.

Comments

  1. Bagus, cuma penerangan isi pertama kurang jelas. penambahbaikan diperlukan. Sekadar pandangan

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

PERIBAHASA - BANDINGAN