Karangan Peranan Ibu Bapa
Pelbagai krisis akhlak dan moral terus menular dalam kalangan masyarakat, khususnya melibatkan golongan remaja. Dari sehari ke sehari kita sering dihadapkan dengan berita-berita yang menggerunkan, contohnya pembuangan bayi, gengterisme, vandalisme, sumbang mahram dan sebagainya. Krisis sosial ini perlu ditangani dengan segera kerana impaknya bukannya kecil dan jika tidak ditangani mereka akan menjadi liabiliti kepada negara pada masa akan datang. Tambahan lagi, remaja merupakan kunci pembangunan sesebuah negara malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa golongan ini adalah cerminan masyarakat pada masa depan. Oleh hal demikian, ahli keluarga hendaklah mengambil langkah tegas dalam menangani hal ini. Persoalannya, bagaimanakah keluarga harus memainkan peranan mengekang masalah ini daripada berlarutan?
Setiap ahli keluarga perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjadikan rumah sebagai tempat yang selamat dan mewujudkan suasana rumahku syurgaku. Dalam sesebuah keluarga kasih sayang dan kemesraan hendaklah dipupuk. Contohnya, ibu bapa memperuntukkan masa bersama-sama anak seperti menonton televisyen, membaca majalah dan makan malam. Ibu bapa perlu ambil peduli mengenai keperluan dan kehendak anak-anak. Ada masa, ibu bapa hendaklah menjadikan anak-anak sebagai teman dan ada masa ibu bapa perlu bertegas dengan mereka dalam mendidik. Berikan ganjaran jika mereka berjaya dan berikan kata-kata perangsang jika sebaliknya. Kurangnya perhatian daripada ahli keluarga punca utama remaja terdedah kepada anasir-anasir tidak baik sehingga mengheret mereka ke kancah jenayah.
Didikan rohaniah mampu mengukuhkan keperibadian dan sahsiah diri. Oleh itu, ibu bapa perlu bertegas dalam hal memantapkan pengetahuan dan menjadikan agama sebagai pegangan hidup. Agama menjadi akar kesempurnaan hidup. Perlakuan anak-anak yang melampaui batas hendaklah ditegur. Ibu bapa juga perlu bersabar ketika menghadapi sesuatu masalah yang melibatkan anak-anak dan mencari jalan penyelesaian. Selesaikanlah masalah yang sedang dihadapi secara baik dan merasionalkan mereka agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Tindakan menghukum anak-anak secara terburu-buru bukanlah jalan terbaik. Ibarat peribahasa ‘bagai menghela rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan terserak’. Ibu bapa merupakan suri teladan yang mempengaruhi personaliti anak-anak. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Selain itu, ibu bapa perlu sentiasa memantau gerak-geri anak sama ada di rumah atau di luar malah tumpuan perlu diutamakan apabila mereka melangkah ke alam remaja, iaitu masa paling sukar bagi ibu bapa dan amat mencabar untuk mereka. Pastikan anak-anak berada di tempat yang sewajarnya bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan aktiviti tidak sihat. Kenali juga rakan-rakan terdekat anak dan jadikan mereka sebagai rakan anda juga. Secara tidak langsung, ibu bapa boleh menyelami isi hati golongan remaja yang lain. Ibu bapa juga perlu mencari pendekatan yang betul untuk mengetahui kegiatan anak-anak di belakang mereka termasuk menyiasat sendiri jika ada khabar angin bahawa mereka terjebak dengan perkara tidak bermoral kerana masakan pokok bergoyang jika tiada angin. Adakala ibu bapa terlalu yakin anak-anak mereka baik. Sesungguhnya, hubungan yang erat merupakan tonggak keharmonian sesebuah keluarga.
Comments
Post a Comment