Karangan Pemerihalan - Percutian Bersama dengan Keluarga

Pada cuti sekolah yang lalu, aku dan keluarga telah ke Air Terjun Sungai Gabai yang terletak di Hulu Langat, Selangor. Air terjun ini menjadi pilihan kerana merupakan antara satu destinasi percutian yang menjadi tumpuan. Peluang bercuti di sini sangat menggembirakan aku kerana ini merupakan kali pertama aku menjejakkan kaki ke sana. Sebenarnya, ini merupakan cadangan ayah untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga. 
     Seawal pagi, ibu menyediakan makanan dan minuman seperti mi goreng, nasi lemak, sandwic, buah-buahan, jus dan beberapa menu lain. Ayah pula memastikan kereta dalam keadaan baik agar tidak berlaku perkara tidak diingini. Kami bertolak ke air terjun ini pada pukul 7.30 pagi dan tiba pada pukul 9.30 pagi. Perjalanan selama dua jam kami isi dengan menyanyi dan berbual-bual. 
     Apabila tiba di air terjun ini, aku dan adik yang pertama kali ke sini terpegun melihat keindahan dan kecantikan alam. Flora dan fauna masih terpelihara. Ayah menghamparkan tikar di bawah sebatang pokok yang rendang. Selepas menukar pakaian, kami pergi bermandi-manda. Selepas puas bermandi-manda, kami ke tandas yang disediakan untuk menukar pakaian dan membersihkan diri. Kemudian, kami makan mi goreng sambil menikmati keindahan alam yang tidak tercemar. Kami berasa sangat berseronok. 

     Aku dan adik merakam gambar sebagai kenangan. Ibu membaca buku cerita sambil bersandar pada sebatang pokok manakala ayah berehat sebentar. Aku dan adik dapat merakam gambar burung-burung yang sukar didapati di bandar. Kami bertolak pulang ke rumah apabila hari hampir senja. Walaupun berat hati meninggalkan tempat tersebut, namun kami berasa gembira kerana menimba pengalaman yang terindah.

Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

PERIBAHASA - BANDINGAN