Karangan SPM - Penyakit Berjangkit dan Masyarakat
Penyakit berjangkit yang menghiasi kaca televisyen dan
dada akhbar kini ada yang telah meragut nyawa manusia. Sudah pasti, kes ini
melahirkan rasa bimbang dalam kalangan masyarakat kerana menjejaskan
keselamatan kesihatan dan keselamatan sosial khususnya sehingga mengganggu
pembangunan sumber manusia. Terdapat pelbagai jenis penyakit berjangkit yang
menular di negara kita seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom
Pernafasan Timur Tengah-Coronavirus (MERS-CoV), Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut
(HFMD), dan Demam Virus Influenza A (H1N1). Justeru itu, pelbagai langkah telah
dilaksanakan oleh pihak berwajib dengan merangka program pengawalan dan
pencegahan penyakit berjangkit. Namun, masih terdapat masyarakat lepas tangan dalam
memastikan usaha-usaha mengekang penularan wabak penyakit tersebut berjaya.
‘Diri sendiri’ merupakan entiti yang harus
berusaha memastikan penyakit ini tidak ‘terpikat’ untuk hinggap dalam kelompok
masyarakat. Bayangkan, apakah yang akan berlaku terhadap masyarakat yang tidak
mengamalkan pemakanan yang seimbang? Sudah pasti, masyarakat akan mudah dijangkiti
penyakit berjangkit. Semua ini berpunca daripada pengambilan pemakanan yang tidak
berasaskan piramid gizi seimbang. Sekiranya masyarakat gagal memenuhi pemakanan
gizi seimbang, antibodi badan akan menjadi lemah malahan zat di dalam tubuh
badan kurang. Oleh hal demikian, langkah yang proaktif perlulah diambil
oleh masyarakat untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit ini daripada
dijangkiti, bak kata pepatah, 'Mencegah lebih baik daripada
mengubati'.
Tidak dapat dinafikan, masyarakat
juga gagal menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Dengan persekitaran yang
kotor, masyarakat akan mudah dijangkiti dengan penyakit berjangkit. Sebagai
contohnya, masyarakat tidak membasmi kuman menggunakan larutan berasaskan
klorin pada semua permainan kanak-kanak dan lantai rumah terutama tandas. Malahan,
terdapat masyarakat yang tidak mencuci tangan dengan cecair pencuci atau sabun
dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, selepas menyentuh
atau merawat lepuh dan semasa mencuci najis kanak-kanak yang dijangkiti. Perilaku tersebut melambangkan mentaliti masyarakat yang tidak peka tentang aspek kebersihan. Jangan sudah terhantuk baru hendak tengadah apabila ada yang dijangkiti wabak penyakit berjangkit.
Selain itu, hubungan sosial
tanpa sekatan turut juga menyumbang kepada penularan fenomena penyakit
berjangkit. Hubungan seks yang dilakukan oleh segelintir masyarakat akan
menyebabkan virus HIV tersebar. Tanpa pemakaian alat pencegahan seperti kondom,
virus tersebut akan tersebar melalui alat sulit mereka. Hal yang sama juga
berlaku apabila individu tersebut menggunakan dan berkongsi jarum suntikan untuk
dadah. Amalan tersebut secara langsung menyebabkan seseorang itu akan dijangkiti
virus HIV dan seterusnya menghidap AIDS. Oleh itu, langkah yang bijak perlulah
diambil oleh semua anggota masyarakat supaya dapat mengatasinya.
Kesimpulannya, walaupun banyak
usaha telah dijalankan oleh kerajaan untuk mencegah dan mengawal penyakit
berjangkit, namun tanpa sokongan daripada masyarakat, semuanya sukar
dilaksanakan. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama seperti aur dengan
tebing untuk mengekang penyakit berjangkit daripada terus menular. Pihak
kementerian kesihatan telah menjalankan program imunisasi dan vaksinasi. Kebersihan
di tempat makan awam hendaklah dipantau dari masa ke masa. Malah, masyarakat hendaklah
cakna perubahan mengenai kesihatan diri. Pengusaha makanan juga mesti memastikan kebersihan premis makanan dan kebersihan makanan terjamin serta menepati perspektif undang-undang.
Rujukan:
https://www.hmetro.com.my/
Thanks a lot
ReplyDeleteMy pleasure. All the best.
DeleteThank you
ReplyDeleteWelcome.
Delete