Karangan SPM - Pendatang Asing Tanpa Izin
Lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin ibarat Barah
Malaysia diibaratkan sebagai syurga pendatang rentetan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit yang bukan sahaja menguasai lokasi strategik sekitar Lembah Klang termasuk ibu kota. Faktor tarikan yang menarik minat kelompok ini adalah seperti peluang pekerjaan yang meluas dan keadaan negara yang aman di samping faktor tolakan seperti keadaan semasa negara PATI yang kucar kacir dan kemiskinan yang dialami. Kebanjiran PATI secara bertali arus ke negara ini semakin tidak terkawal sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial. Hal ini termasuklah kes-kes jenayah yang dilakukan oleh pekerja asing yang semakin menjadi-jadi belakangan ini seperti pembunuhan, pergaduhan dan rusuhan. Kerajaan telah menggariskan undang-undang tentang perkara yang bersangkutan dengan pendatang asing ini secara jelas agar tidak terus membarah.
Perkara
yang paling merunsingkan apabila mereka bebas bergerak dalam pelbagai sektor
pekerjaan, membina penempatan dan komuniti sendiri, terlibat dalam kegiatan
jenayah, malah yang lebih 'otai' mampu membina kartel jenayah tersendiri. Apabila
kumpulan pendatang ini sudah besar kepala, pihak berkuasa dan undang-undang
negara bukan lagi sesuatu yang menggerunkan sekali gus menjadikan penduduk
tempatan hidup dalam perasaan bimbang. Usaha mewujudkan peluang pekerjaan
kepada warga tempatan dapat memudahkan proses pembersihan kelompok ini. Malahan
dapat melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat tempatan. Hal ini demikian kerana
sudah ada banyak kes sebelum ini pendatang asing terlibat dalam pelbagai kes
jenayah sehingga memberikan ancaman kepada rakyat tempatan. Sikap mereka yang
tidak mengendahkan kebersihan pula turut menyumbang kepada penularan pelbagai
penyakit yang mengancam nyawa. Ternyata, kebanjiran pendatang asing tanpa izin
di negara kita lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.
Menyedari
implikasi yang dihadapi bukanlah perkara yang menyenangkan, kerajaan negeri dan
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) giat melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan
terhadap lesen perniagaan yang diberikan kepada warga ini. PBT akan mengambil
tindakan menyita dan membatalkan lesen perniagaan sekiranya didapati penduduk
tempatan memberikan lesen perniagaan kepada PATI. Kerajaan Persekutuan
sememangnya telah melaksanakan pelbagai operasi membanteras PATI dengan
kerjasama pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan
Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Terdapatnya, operasi penguatkuasaan dan
penangkapan PATI di kawasan pembinaan premis perniagaan. Selain itu, pantauan
di kawasan perumahan awam juga dilaksanakan dan mengenakan tindakan
undang-undang kepada penyewa yang menyewakan rumah kepada PATI. Namun, usaha
tersebut tidak mengurangkan jumlah PATI tapi dilihat semakin bertambah.
Kerajaan Persekutuan digesa untuk melipatgandakan usaha bagi membanteras
kebanjiran PATI.
Banyak
lagi usaha kerajaan dalam mengurangkan kebanjiran PATI. Antaranya, menghantar
pekerja yang bekerja secara haram pulang ke negara asal mereka. Namun, usaha
ini kelihatan kurang berkesan kerana PATI akan kembali ke negara ini semula
dalam masa yang singkat. Tindakan ini perlu disusuli dengan penguatkuasaan
undang-undang yang lebih tegas oleh pihak berkuasa. Kerajaan juga telah
mengambil langkah yang lebih drastik bagi mengurangkan pergantungan kepada
pekerja asing dengan mengehadkan import tenaga asing. Pasukan keselamatan
negara perlu dikerah untuk membantu mengawal kemasukan pendatang asing.
Pada bulan
November 2020, kerajaan telah melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa
Izin yang dilaksanakan Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja
Semenanjung Malaysia serta agensi kerajaan lain tanpa pembabitan vendor atau
pihak ketiga. Program tersebut bertujuan meregularisasikan pendatang tanpa izin
di negara ini sebagai pekerja asing sah digajikan majikan layak, tertakluk
kepada syarat ketat yang diputuskan kerajaan. Program Rekalibrasi Pulang pula
merupakan inisiatif kerajaan untuk memberikan peluang kepada pendatang yang
melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan berada di Malaysia tanpa pas yang
sah untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
Majikan
perlu lebih bertimbang rasa dalam menawarkan upah yang lebih tinggi tanpa
mengaut keuntungan berlebihan. Langkah ini boleh menarik minat pekerja tempatan
untuk menceburi pekerjaan yang kini dipenuhi pekerja asing. Dalam menghadapi
kos sara hidup yang kian meningkat, orang tempatan sepatutnya mengubah minda
agar tidak terlalu memilih pekerjaan. Pelibatan tenaga kerja yang ada di negara
ini perlulah dimaksimumkan bagi menampung permintaan pasaran pekerjaan. Dalam
jangka panjang, strategi tertentu perlu dirangka dalam meminimunkan lambakan
pekerja asing agar tidak mengganggu pelaksanaan dasar kerajaan seperti upah
minimum.
Comments
Post a Comment