Karangan UASA Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3 - Pencemaran Sungai
Usaha Melestarikan Sungai; Sungai Diambang Bahaya
Sungai merupakan
nadi kehidupan kurniaan Allah yang paling bernilai kepada manusia. Khazanah ini
perlu dipelihara kerana menjadi sumber bekalan air bersih kepada manusia,
haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Sungai juga menjadi habitat semula jadi kepada
pelbagai jenis hidupan akuatik. Walaupun masyarakat mengetahui kepentingan sumber
air ini, namun sumber alam tersebut kini di ambang kemusnahan. Keghairahan
manusia mengejar kemajuan dunia dengan merancang dan melaksanakan projek pembangunan telah menjadikan sungai
sebagai korban. Tanggungjawab manusia untuk memelihara dan memulihara sungai
sudah tidak lagi mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Kesedaran
masyarakat tentang kepentingan kebersihan sungai kian tandus sehingga masalah
ini meruncing dan menjejaskan imej negara. Bahkan, pencemaran dan kekurangan
sumber air dari sungai akan meningkatkan kos rawatan dan bekalan yang boleh
membebankan masyarakat. Malahan, sungai yang kotor dan tidak terurus juga
memberikan imej negatif kepada kepemimpinan sesuatu tempat.
Sungai
yang bertindak sebagai pembekal sumber air domestik, pertanian, perdagangan dan
lain-lain telah dijadikan medan pembuangan sampah sarap terutama di kawasan
bandar. Masyarakat sepatutnya bersikap prihatin dan segera melaporkan kejadian
yang mengancam kesihatan ini kepada pihak berkuasa dengan serta-merta. Masalah
ketidakcekapan pengurusan sampah sarap menyebabkan masyarakat semakin culas
dengan membuang sampah sarap ke dalam sungai. Sumber protein terjejas dan
berkurangan kerana kandungan toksik dalam sungai tinggi. Oleh itu, masyarakat mestilah menghentikan
pembuangan sisa sampah terus ke dalam saliran atau sungai. Masyarakat
seolah-olah tidak menyedari bahawa tindakan mencemarkan sungai ibarat
mencurahkan racun dalam sumber keperluan hidup. Selain itu, masyarakat
hendaklah menyertai kegiatan pembersihan sungai yang dijalankan oleh Jabatan
Alam Sekitar. Kesannya, masyarakat tidak mendapat sumber air yang berkualiti
sehingga menjejaskan tahap kesihatan.
Tidak
dapat dinafikan peranan kerajaan penting dalam menjaga kepentingan sungai. Kerajaan
perlu memperkasakan perancangan, pemantauan dan penguatkuasaan udang-undang
bagi memastikan sungai adalah kekal bersih. Malah, kerajaan perlu membina serta
menaik taraf sistem rawatan sisa kumbahan yang lebih efisien.Pelbagai kempen perlulah
dilaksanakan seperti Sungai Angkat dan Cintailah Sungai Kita yang Kempen boleh
dilaksanakan dalam media massa agar maklumat dapat disalurkan kepada semua
masyarakat. Kempen ini perlu dipergiat ke seluruh negara dengan penyebaran maklumat
melalui kaca televisyen, di radio dan media cetak seperti akhbar arus perdana tentang
kesan pencemaran sungai. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir masyarakat
langsung tidak menyedari kewujudan kempen ini dan bersikap tidak endah akan
tujuan kempen tersebut.
Tuntasnya,
menjaga kebersihan sungai tanggungjawab segenap lapisan masyarakat kerana
sungai yang tercemar boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan. Justeru,
masyarakat merupakan ejen utama yang dapat membantu kerajaan mengurangkan
masalah pencemaran sungai. Usaha menjaga dan memelihara sungai supaya sentiasa
lestari adalah berkait dengan soal kesedaran dan sikap komuniti. Jika semua
ahli masyarakat bersama menjaga sungai, kita akan dapat menikmati kualiti hidup
yang lebih baik dan sihat.
Comments
Post a Comment