Karangan Sekolah Rendah - Langkah-langkah Menjaga Kesihatan Diri

TEMA KESIHATAN DAN KEBERSIHAN

Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Antara salah satunya ialah sihat sebelum sakit. Ini membuktikan bahawa kesihatan memberikan makna yang penting untuk menjalani kehidupan yang berkualiti. Oleh itu, murid-murid perlu dididik agar mempraktikkan amalan menjaga kesihatan diri. Hal ini demikian kerana kesihatan diri tidak boleh diukur dengan wang ringgit. 
    Terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan oleh murid untuk menjaga kesihatan diri. Antaranya ialah mengamalkan gizi seimbang dalam kehidupan seharian. Ini bagi memastikan badan memperoleh zat dan vitamin yang mencukupi. Contohnya, makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan dengan banyak. Sayur-sayuran dan buah-buahan juga perlu dibasuh terlebih dahulu. Ini penting agar murid tidak mengambil makanan yang tercemar dengan bahan-bahan berbahaya kepada kesihatan.
         Sebelum makan, murid mestilah membasuh tangan dengan menggunakan sabun yang sesuai. Gosok kedua-dua belah tangan termasuk di celah-celah jari supaya tangan benar-benar bersih daripada kuman. Para murid tidak mengetahui bahawa tangan manusia mengandungi beribu-ribu jenis kuman. Menurut kajian yang dijalankan oleh University of Colorado, puratanya, tangan manusia mengandungi 3,200 bakteria daripada 150 spesies berbeza.
      Selain itu, murid hendaklah sentiasa bersenam sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Aktiviti seperti senamrobik, zumba dan berjoging dapat merembeskan peluh dan sisa toksik yang terdapat dalam badan. Kesannya, badan akan menjadi cergas dan otak akan cerdas. Misalnya, murid meluangkan masa setengah jam selepas waktu persekolahan untuk berjoging di kawasan rumah. Usaha ini perlu diteruskan secara konsisten dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. 
     Sesuai dengan konsep mencegah lebih baik daripada mengubati, murid mestilah menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun. Murid dapat memastikan tahap kesihatan diri berada dalam keadaan baik. Murid juga dapat mengesan penyakit yang dihidapi pada peringkat awal dan mengambil rawatan segera sebelum penyakit tersebut semakin serius. Pemeriksaan kesihatan juga dapat memastikan murid terhindar daripada sakit jantung, kanser, diabetes dan lain-lain.
     Konklusinya, tanggungjawab menjaga kesihatan terletak dalam tangan murid. Langkah-langkah proaktif dan konsisten perlu dilakukan sebelum nasi menjadi bubur. Hal ini demikian kerana kesihatan merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Kita mesti sentiasa menjaga kesihatan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

PERIBAHASA - BANDINGAN