Karangan SPM - Kepentingan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional adalah antara pilihan yang sesuai untuk pelajar yang masih mencari arah masa depan kerjaya. Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional bukanlah pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang, sebaliknya, kerjaya berasaskan kemahiran yang ditawarkan menerusi pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional mampu menjanjikan pendapatan lumayan. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 2 Jun sebagai Hari Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Negara yang akan disambut secara tahunan.

  Era globalisasi menyaksikan peningkatan tenaga kerja dalam bidang kemahiran dan industri sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional antara bidang pendidikan serta latihan yang memberikan penekanan utama terhadap bidang industri dengan tujuan menghasilkan tenaga kerja kompeten dalam bidang berkenaan. Bagi sesetengah negara seperti Jerman, Jepun dan Perancis, malah negara serantau seperti Korea Selatan, China dan Singapura, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional telah menjadi satu daripada kekuatan sistem pendidikan.

  Dengan adanya tenaga kerja yang berkemahiran, ia akan memperkukuh ekonomi dan meningkatkan produktiviti negara. Hal ini demikian kerana pertumbuhan ekonomi dan industri Malaysia bergantung pada keupayaan kita untuk mempertahankan kadar produktiviti yang tinggi dan daya saingan di arena antarabangsa. Daya saingan dan produktiviti industri pula bergantung pula kepada adanya tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan dan bermotivasi tinggi. Kursus yang ditawarkan membolehkan pelajar mendapatkan pengetahuan vokasional dan kemahiran bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan sebagai tenaga kerja mahir atau separuh mahir dalam industri. Pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam pendidikan sains dan teknologi boleh memenuhi tenaga kerja dalam bidang industri dan seterusnya meningkatkan daya saing sektor perindustrian negara.

  Pendidikan teknikal dan vokasional membuka peluang kepada murid yang kurang cemerlang dalam bidang akademik untuk melanjutkan pelajaran. Seperti kita sedia maklum, peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional dan kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan lain-lain memerlukan keputusan peperiksaan yang cemerlang dalam bidang akademik masing-masing. Justeru, bidang ini membuka peluang kepada murid yang kurang cemerlang dan meminati bidang kemahiran untuk mencungkil keistimewaan diri masing-masing. Misalnya, murid yang berminat dalam bidang automotif akan mempelajari ilmu pengetahuan tentang cara-cara membaiki kenderaan bermotor. Peluang dan ruang ini secara tidak langsung memberikan gambaran kepada pelajar bagaimana corak pekerjaan mereka pada masa hadapan dan seterusnya mampu mencari pekerjaan sejurus tamat pembelajaran. Oleh itu, murid hendaklah memanfaatkan peluang yang ada di hadapan mata untuk meneroka kemahiran masing-masing sepanjang menjalani pendidikan dan latihan vokasional.

Tidak dapat dinafikan, segala kursus atau program yang ditawarkan di kolej vokasional dapat melahirkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknikal yang tertentu. Antara hab yang telah dikenal pasti termasuklah automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan. Apabila murid mempunyai kemahiran teknikal seperti dalam bidang automatif, mereka dapat bekerja sebagai mekanik di kedai servis kenderaan bermotor ataupun membuka pusat servis kenderaan milik sendiri. Secara tidak langsung, pendidikan kemahiran mampu menghasilkan usahawan tempatan yang menyediakan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat setempat. Pendek kata, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan lagi pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang dalam akademik sebaliknya berupaya menyumbang tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang baharu yang penting kepada pembangunan dan kemajuan negara.

  Kerajaan perlulah menghantar lebih banyak pelajar Malaysia mengikuti pengajian di luar negara dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional selaras dengan hasrat memperkasa sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional tempatan. Langkah ini merupakan transformasi yang dilakukan kerajaan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional selain mengubah persepsi masyarakat bahawa individu yang mengikuti pengajian itu adalah dalam kalangan murid tercicir dalam akademik.

  Menyedari manfaat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional terhadap negara, kerajaan telah membuat peruntukan kewangan untuk memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan. Dengan membina tenaga kerja mahir melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional, Malaysia bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga memastikan masa depan yang makmur dan inovatif untuk rakyat Malaysia.

  Terdapat banyak platform media sosial yang boleh dimanfaatkan secara optimum bagi mempromosikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional termasuk memaparkan kejayaan graduan dan alumni Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan. Pemain industri hendaklah menjadi rakan kongsi strategik dengan turut mempromosikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional kepada masyarakat seperti menonjolkan peluang kerjaya dalam industri dan membenarkan murid membuat lawatan ke industri mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka