Usaha-usaha Menggalakkan Generasi Muda Bersukan

Bidang sukan bidang yang boleh menjadi salah satu kerjaya profesional dan memberikan pendapatan yang tinggi terhadap atlet yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan SEA, Komanwel dan Olimpik. Namun, tidak semua generasi muda meminati bidang ini. Keadaan ini telah menyebabkan negara kita ketandusan barisan pelapis yang akan menggantikan jaguh dunia sukan seperti Dato Nicol Ann David, Datuk Azizulhasni Awang, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Pandelela Rinong yang berjaya dalam arena sukan masing-masing. Menyedari hakikat ini, usaha untuk menanam minat dalam kalangan generasi kini haruslah dilakukan. Langkah yang proaktif daripada semua pihak dapat memastikan negara kita mampu melahirkan banyak jaguh sukan negara. Benarlah peribahasa, bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Peranan sebelah pihak sahaja akan merumitkan usaha dalam melahirkan jaguh sukan negara.

Ibu bapa ibarat jambatan yang akan dilalui oleh anak-anak untuk tiba ke suatu destinasi. Rumah ialah sekolah pertama untuk mendidik anak-anak manakala ibu bapa ialah tenaga pengajar yang akan menjadi suri teladan. Anak-anak akan terpengaruh dengan segala peribadi ibu bapa ibarat bapa borek, anak rintik. Memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa, banyak usaha yang boleh dilakukan untuk memupuk dan menanam minat anak-anak dalam bidang sukan. Lihatlah, Datuk Mohd Sidek, iaitu seorang bapa yang telah melakukan inisiatif yang sangat luar biasa dalam menghasilkan jaguh dunia badminton apabila anak-anaknya seperti Misbun Sidek, Jalani Sidek dan Razif Sidek menjadi jaguh badminton. Apakah usaha yang dilakukan oleh beliau? Beliau telah berusaha menyediakan gelanggang badminton di kawasan rumah supaya anak-anaknya dapat menjalani latihan badminton. Hal ini jelas membuktikan, ibu bapa hendaklah menyediakan pakaian sukan yang lengkap termasuklah baju dan kasut serta alatan yang sesuai. Usaha ini akan menambahkan semangat anak-anak untuk bersukan. 

Tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak terlibat dalam sukan bukan hanya daripada aspek material, bahkan melalui sokongan moral. Ibu bapa perlu turut serta bersama anak-anak bersukan. Ibu bapa juga boleh memulakan langkah dengan membawa anak-anak menyaksikan perlawanan sukan di stadium. Pendedahan pada peringkat anak-anak berusia setahun jagung menjadi pemudah cara dalam melentur minat ibarat peribahasa melentur biarlah waktu rebung. Bapa borek, anak rintik. Perlakuan ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak. Membiasakan anak-anak dengan persekitaran stadium, jeritan para penyokong, dan kemahiran pemain negara akan mempengaruhi semangat kesukanan anak-anak. Pendedahan demi pendedahan bukanlah usaha yang sia-sia memandangkan ibu bapa menjadi jentera penggerak yang utama. Ibu bapa juga perlulah melibatkan diri ketika Hari Sukan pada peringkat sekolah. Memulakan langkah pertama memberikan semangat dan sokongan kepada anak-anak ketika mereka berada di trek larian. Kesungguhan tersebut mencerminkan bahawa ibu bapa telah menggerakkan semangat anak-anak untuk menjuarai sesuatu perlawanan.

Selain menyediakan kelengkapan sukan dan sokongan moral, ibu bapa hendaklah menghantar anak-anak ke pusat latihan. Bukan lagi isu yang besar memandangkan badan bertanggungjawab seperti Kementerian Sukan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat bersukan. Tidak dapat dinafikan telah wujud pusat latihan swasta yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Kemudahan ini hasil kesedaran masyarakat bahawa sukan amat penting dalam kehidupan seharian, bukan sahaja menyihatkan tubuh badan malahan menjadi alat perpaduan. Usaha ibu bapa menghantar anak-anak ke pusat latihan dapat memastikan anak-anak mendapat latihan daripada jurulatih profesional untuk mengembangkan potensi diri. Kemahiran anak-anak dapat diasah. Benar bukan belakang parang lagi kalau diasah akan tajam? Lihatlah kejayaan Datuk Misbun Sidek dan adik-beradik. Bapa mereka, Dato’ Muhd Sidek telah memberikan latihan kepada anak-anak malahan memastikan anak-anak mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih profesional. Inilah tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa. Jangan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Walaupun usaha yang dilakukan oleh ibu bapa kecil, tetap membuahkan kejayaan yang besar.

Pihak sekolah juga tidak boleh melepaskan tangan ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Sekolah menjadi lapangan penting untuk menghasilkan jaguh sukan. Selaras dengan dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan, iaitu 1Murid 1Sukan, jelaslah pelibatan murid dalam bidang ini memberikan manfaat yang sangat besar. Sukan boleh menjadi kerjaya profesional yang memberikan pendapatan yang sangat lumayan terhadap atlet sukan. Justeru, sekolah menjadi saluran untuk melahirkan pelapis bidang sukan. Potensi diri murid dapat dikembangkan dari peringkat sekolah hinggalah antarabangsa. Guru hendaklah mengenal pasti murid yang berpotensi dalam sesuatu sukan, kemudian melantik jurulatih yang bertauliah untuk membimbing murid tersebut. Bakat murid perlu digilap agar lebih bersinar dan tidak disia-siakan untuk menjadi pelapis sukan pada masa akan datang. Secara tidak langsung, masalah ketandusan atlet dapat diatasi. Pendek kata, sekolah menjadi batu loncatan murid untuk berjaya dalam bidang sukan yang diminati. 

Sudah pasti, kerajaan tidak ketinggalan dalam melahirkan atlet sukan yang berkualiti. Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk menarik generasi muda berkecimpung dalam dunia sukan dan menjadikan sebagai satu kerjaya. Penyediaan kemudahan yang lengkap seperti gimnasium, stadium, gelanggang dan sebagainya dapat memancing minat golongan ini. Dana kewangan yang ditawarkan pula mampu membuka mata dan memastikan mereka berebut-rebut peluang yang terhidang di depan mata. Ganjaran demi ganjaran yang lumayan merupan teknik yang paling berkesan untuk memastikan generasi muda berusaha menjalani latihan sukan. Tidak dapat disangkalkan lagi, keprihatinan kerajaan dengan menubuhkan sekolah-sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil menjadi landasan terbaik untuk menyuburkan minat bersukan dalam kalangan generasi muda. Kerajaan juga sewajarnya menumpukan usaha dengan mencari jurulatih berpengalaman untuk membentuk ahli sukan bertaraf dunia. Biasiswa sukan juga wajar diperluas kepada lebih ramai murid yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam bidang sukan. Tindakan dan usaha kerajaan dapat dijadikan sumber inspirasi kepada golongan ini agar menggapai cita-cita yang luhur.

Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka