Karangan SPM Bahagian A Cara-cara Mengeratkan Hubungan Kekeluargaan

Dalam meniti Revolusi 4.0, perkembangan teknologi dan komunikasi telah memberikan kesan terhadap hubungan kekeluargaan sehingga institusi kekeluargaan menjadi semakin longgar. Penciptaan laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Skype membuatkan ahli keluarga sentiasa menggunakan telefon pintar sehingga masa bersama keluarga makin terhad. Keadaan ini menjadi lebih meruncing apabila terdapat ibu bapa sibuk dengan kerjaya masing-masing dalam mencari nafkah untuk menampung kos sara hidup yang kian meningkat. Menyedari hakikat ini, setiap ahli keluarga perlu menjalankan tanggungjawab agar institusi kekeluargaan tidak runtuh. Sudah menjadi keperluan bahawa setiap ahli keluarga perlu mempertahankan hubungan kekeluargaan agar kembali mesra. Antara cara mengeratkan hubungan kekeluargaan adalah seperti meluangkan masa makan bersama-sama setelah melakukan rutin masing-masing pada siang hari. Ahli kelaurga dapat saling bertukar kisah yang berlaku pada mereka. Bahkan, sekiranya terdapat masalah yang dihadapi, ahli keluarga boleh berkongsi pandangan yang paling efektif untuk menyelesaikannya. Misalnya, ibu bapa boleh memberikan nasihat terhadap anak-anak yang berhadapan dengan masalah persahabatan atau pelajaran. Secara tidak langsung, keluarga yang harmoni dapat dibentuk. Selain itu, pendekatan menemani ahli keluarga belajar merupakan salah satu langkah yang praktikal untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan yang kian rapuh. Sikap ibu bapa yang prihatin akan tahap pendidikan anak-anak akan membuatkan anak-anak rasa dihargai. Ibu bapa boleh memberikan tunjuk ajar ketika anak-anak melakukan ulang kaji dan turut serta memberikan idea. Kesannya, anak-anak akan berusaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran untuk membalas jerih perih ibu bapa memberikan keperluan asas termasuklah pendidikan yang sempurna. Pendekatan ini juga mampu melahirkan kesan positif terhadap sahsiah anak-anak. Masa itu emas. Bidalan ini membuktikan kepentingan masa dalam kehidupan seharian tidak boleh dipandang enteng. Selari dengan bidalan ini, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan apabila ahli keluarga meluangkan masa untuk bercuti. Ibu bapa boleh membawa anak-anak ke tempat percutian yang menarik dalam negara seperti pulau, hutan lipur dan air terjun. Ahli keluarga bukan sahaja dapat merehatkan minda dan lari daripada kesibukan kerja malahan mereka dapat menghabiskan masa berkualiti dengan ahli keluarga. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama-sama seperti Hari Keluarga, sukaneka, memancing, mendaki gunung dan snorkeling. Nilai kerjasama yang terzahir dalam setiap aktiviti menjadi jambatan terhadap keutuhan hubungan kekeluargaan. Intihanya, keluarga yang bahagia menjadi idaman setiap insan. Tidak mustahil dalam hidup keluarga bahagia dapat dicapai sekiranya setiap ahli keluarga ambil tahu dan melaksanakan kewajipan masing-masing. Setiap ahli keluarga tidak boleh berpeluk tubuh dalam melestarikan hubungan kekeluargaan agar kekal utuh. Hal ini demikian kerana tidak akan ada keluarga bahagia yang akan kekal tanpa usaha yang jitu. Ahli keluarga hendaklah sandar-menyandar bagai aur dengan tebing dalam membuktikan hidup ini saling memerlukan.

Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional