Karangan UPSR - Faedah Menabung terhadap Murid
Berdikit-dikit, lama-lama jadi bukit.
Berdasarkan peribahasa di atas, tulis karangan bertajuk 'Faedah Menabung terhadap Murid'.
**************************************************
Budaya menabung dalam kalangan murid hendaklah dididik agar mereka menjadi individu yang bijak merancang belanjawan. Peribahasa 'berdikit-dikit, lama-lama jadi bukit' memberikan gambaran yang jelas bahawa walaupun nilai wang tabungan adalah kecil, namun lama-kelamaan akan menjadi nilai yang besar.
Sudah pasti budaya menabung memberikan bangak kebaikan terhadap murid. Antara kebaikan menabung ialah murid dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Hal ini demikian kerana, murid perlu merancang segala perbelanjaan, iaitu barang keperluan. Murid hendaklah membawa bekalan air dan makanan yang dimasak di rumah. Oleh itu, wang saku yang diberi oleh ibu bapa dapat disimpan di dalam tabung.
Selain itu, murid mempunyai wang simpanan untuk menghadapi hari mendatang. Misalnya, wang simpanan ini boleh digunakan untuk menampung kos perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat univesiti. Hasilnya, murid tidak perlu membuat pinjaman pendidikan dan mereka tidak perlu menanggung beban hutang keliling pinggang.
Tidak dapat dinafikan, amalan menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Menabung dapat dijadikan tujuan awasan. Contohnya, Jika murid sakit, wang itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan di hospital. Wang ini juga boleh digunakan apabila keluarga ditimpa musibah.
Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Terdapat banyak bank mewujudkan skim simpanan yang memberikan faedah kepada murid. Sudah pasti, apabila wang tabungan disimpan di bank, murid akan mendapat sebahagian keuntungan. Wang ini boleh digunakan untuk kehidupan masa hadapan.
Konklusinya, ibu bapa merupakan suri teladan terhadap anak-anak dalam membudayakan sikap suka menabung dan usaha ini hendaklah dilakukan ketika mereka masih kecil bak peribahasa melentur biarlah waktu rebung.
Comments
Post a Comment