Karangan SPM - Menghadapi Cabaran Berkeluarga
Sejak akhir-akhir ini, kita dihamparkan dengan berita mengenai masalah sosial dalam kalangan remaja yang berleluasa dan amat meruncing seperti kes rogol, samun, ragut, zina, pembuangan bayi, pembunuhan, dan lumba haram. Masalah sosial tersebut dikaitkan dengan kerapuhan institusi kekeluargaan. Situasi ini dikatakan berpunca daripada kejahilan sebahagian besar pasangan suami isteri mengenai teknik dan ilmu keibubapaan. Kebanyakan ibu bapa tidak pernah didedahkan dengan cara-cara ataupun kaedah mengurus hal ehwal keluarga ataupun rumah tangga yang meliputi soal pendidikan anak-anak yang dapat membantu mencungkil potensi anak. Kejahilan ibu bapa terhadap ilmu keibubapaan merupakan sesuatu yang sangat merugikan. Semuanya akan bermula apabila ibu bapa tidak mampu mengawal tingkah laku anak-anak mereka. Ibu bapa seolah-olah 'menghalalkan' perbuatan apabila tidak melakukan sebarang tindakan apabila anak-anak melakukan maksiat di hadapan mata. Sebagai contoh, ada dalam kalangan ibu bapa tidak menghalang anak perempuan mereka untuk membonceng motosikal teman lelaki yang menjemput di rumah. Senario ini perlu diubah dan diatasi dengan kadar segera demi kebaikan anak serta seluruh ahli keluarga.
Oleh itu, ketua keluarga berperanan
meletakkan hala tuju dan matlamat bagi memastikan keluarga yang berjaya dapat
dilahirkan. Pada waktu yang sama, ibu dan ayah perlulah memberikan contoh yang
baik kepada anak-anak. Bermula daripada sebuah keluarga, dari situ akan
mengikat perpaduan dan keharmonian masyarakat hingga semua pihak dapat
menjalankan peranan masing-masing terhadap negara. Untuk mencipta keluarga
bahagia bukan kerja mudah kerana kepelbagaian dimensi pada zaman ini mencabar
ibu bapa dan anak-anak untuk menghadapi tekanan daripada suasana persekitaran
yang kian pudar nilai positif. Selain itu, anak-anak menghadapi tekanan
persaingan untuk mencapai taraf akademik terbaik dan cemerlang bagi menjamin
masa depan mereka. Ibu bapa pula sibuk mengejar kekayaan sehingga mengabaikan
tanggungjawab terhadap anak. Hakikatnya, hidup dalam era ini perlu menghadapi
cabaran yang kuat.
Kita tidak dapat menafikan bahawa
kepesatan pembangunan sesebuah negara banyak bergantung kepada rakyatnya.
Apabila dikaitkan negara yang membangun berhubung kait dengan rakyat, sudah
pasti pembentukan keluarga yang harmoni memberikan sumbangan yang besar.
Menyedari hakikat itu, usaha-usaha ke arah memperkasakan institusi kekeluargaan
menjadi agenda utama dalam pembangunan negara. Justeru, Perdana Menteri
menegaskan agar setiap anggota masyarakat menjaga dan memelihara keluarga
masing-masing. Malah, perkara yang lebih penting ialah berkeyakinan dan
berusaha mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Kita percaya dalam membina
masyarakat maju, negara ini memerlukan kekuatan yang boleh dijana dari rumah.
Tanpa wujudnya suasana bahagia dari rumah, ahli-ahli keluarga yang membentuk
masyarakat dan benteng negara, tidak akan mempunyai kekuatan.
Malahan, usaha Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menumpukan pada penyebaran
pendidikan keibubapaan dan penyemaian nilai-nilai murni dalam Rancangan
Malaysia Kesebelas amatlah dialu-alukan. Dalam mempertingkatkan pengetahuan dan
kemahiran ibu bapa untuk mendidik anak-anak, aspek yang wajar diterapkan juga
ialah teknik menyelesaikan masalah. Setiap kanak-kanak perlu diberikan ruang
menjalani kehidupan yang sejahtera, dan ibu bapa pula mendapat perlindungan
daripada gejala negatif yang boleh mengancam keluarga mereka. Oleh itu, ketika
memacu pembangunan fizikal dalam perancangan dan penentuan dasar, kerajaan
mengambil inisiatif mengadakan program pembangunan insan seperti kempen Rumahku
Syurgaku, Utamakan Keluarga, dan Semakin Hari Semakin Sayang. Bagaimanapun,
kejayaan menangani gejala sosial ini sebenarnya terletak pada institusi
keluarga itu sendiri. Kerajaan hanya boleh membantu tetapi ahli-ahli
keluargalah yang perlu menentukan hala tuju dan kejayaan keluarganya.
Sebenarnya, setiap ahli
masyarakat memikul tanggungjawab dalam memastikan masalah moral remaja dapat
dibendung walaupun pada dasarnya masyarakat gemar menuding jari kepada
kegagalan ibu bapa. Memang jelas peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak
dapat dibuktikan melalui hadis Rasulullah SAW yang berbunyi ‘Setiap anak
yang dilahirkan adalah suci maka terpulanglah kepada ibu bapanya dalam
mencorakkan masa depan anaknya, sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi’ (riwayat
Bukhari dan Muslim). Namun begitu, ibu bapa tidak wajar
dipersalahkan 100 peratus terhadap masalah yang berlaku. Peranan dan
tanggungjawab masyarakat juga penting dalam memastikan masalah ini dapat
dibendung. Dalam hubungan ini jelaslah bahawa tanggungjawab dalam menangani
masalah sosial yang berlaku telah menjadi kewajipan serta tanggungjawab oleh
semua pihak.
Comments
Post a Comment