Karangan SPM - Langkah-langkah Membendung Buli
Isu buli yang berlaku dalam dunia pendidikan di Malaysia telah mencapai tahap yang membimbangkan. Walaupun peratusan yang terlibat masih berada dalam kedudukan yang rendah, kes buli ini melibatkan tahap keselamatan murid di sekolah dan di luar sekolah. Lebih kritikal lagi, kes buli juga telah sampai pada tahap maksimum, iaitu kes jenayah berat. Isu ini menjadi lebih parah kerana sebelum ini kes buli hanya melibatkan murid lelaki, tetapi kini murid perempuan juga terlibat sebagai pembuli yang berani di sekolah. Kes buli telah merebak seperti virus dalam sistem pendidikan. Sekolah berasrama penuh, sekolah agama, murid lelaki dan perempuan, murid bijak yang terpilih semuanya terlibat dengan kes buli, sama ada sebagai mangsa atau pemangsa. Perbuatan buli memberikan kesan negatif yang hampir sama kepada mangsa. Mangsa buli hilang keyakinan diri dan lemah untuk menangani perkara tersebut secara bersendirian. Malahan, keputusan akademik mangsa buli akan terjejas kerana mereka tidak mahu terlibat dalam perbincangan dalam kumpulan belajar dan latihan di dalam kelas. Sekiranya individu yang berada dekat dengan mangsa buli tidak peka dengan perkara tersebut, keadaan ini pasti menjadi lebih kritikal.
Kes buli boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu secara fizikal dan psikologi. Buli secara fizikal turut melibatkan perbuatan yang mengakibatkan kecederaan kepada mangsa. Perbuatan seperti menumbuk, menendang dan memukul mangsa menggunakan alat atau kaki dan tangan mampu memberikan kecederaan serius kepada mangsa buli sehingga cacat. Ada juga kes buli sehingga membawa maut. Manakala kes buli secara psikologi pula memberikan kesan kecederaan emosi dan kerosakan teruk secara dalaman sehingga membawa kecederaan otak mangsa. Lebih parah lagi, buli secara psikologi menyebabkan mangsa menjadi gila, pelupa dan bertindak di luar kawalan. Perbuatan mengejek dan mencerca rakan tentang nama yang pelik dan rupa paras yang jelik serta seumpamanya membuatkan mangsa buli berasa sedih, murung dan menjauhkan diri daripada bergaul sesama rakan. Keadaan ini secara tidak langsung membuatkan mangsa buli berasa terpinggir.
Langkah yang drastik, terancang dan praktikal perlu dilakukan oleh semua pihak. Usaha bersama ke arah menyusun strategi penyelesaian isu buli memerlukan respons yang segera. Sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu melihat kes buli sebagai isu yang besar dan serius kerana murid merupakan peneraju masa depan yang akan menyambung hala tuju kepemimpinan negara. Ibu bapa merupakan tunjang dalam mengenal pasti isu buli dalam kalangan anak-anak berdasarkan perubahan emosi mahupun fizikal. Namun, terdapat ibu bapa yang tidak menyedari anak-anak dibuli oleh sebab tidak mempunyai pengetahuan atau pengalaman keibubapaan dalam menguruskan anak-anak khususnya dalam usia baru berkembang serta mempunyai sikap memberontak. Kemahiran keibubapaan amat penting supaya wujudnya hubungan positif antara ibu bapa dengan anak-anak, kesannya anak-anak merasakan diri mereka adalah sebahagian daripada keluarga dan disayangi. Justeru, untuk memastikan ibu bapa lebih peka terhadap isu buli, kesedaran dan pengetahuan serta kemahiran perlu diberikan. Contohnya, program-program kesedaran perlu digerakkan bagi membantu ibu bapa menangani isu dengan lebih efektif. Dengan nada kesedaran dan pengetahuan, maka hubungan komunikasi antara kanak-kanak, ibu bapa, dan para guru dapat dipertingkatkan. Ini akan menimbulkan keyakinan diri serta sayang terhadap diri sendiri, sekali gus mempertingkat hubungan positif dengan rakan sebaya.
Guru-guru juga harus mempunyai kesedaran mengenai isu buli dan mempunyai kemahiran untuk mengenal pasti perbuatan buli di sekolah. Guru-guru harus mengambil tindakan segera melaporkan kes-kes buli kepada guru besar, pengetua atau pihak kaunselor sekolah atau polis sekiranya kes buli bertambah serius. Pihak sekolah harus meningkatkan kehadiran polis agar dapat memantau kes-kes buli daripada terus berlaku. Pihak kaunselor sekolah perlu bekerjasama dengan ibu bapa serta kanak-kanak bermasalah supaya bimbingan serta kaunseling boleh diberikan. Pihak sekolah perlu lebih komited dengan mengadakan dasar perlindungan kanak-kanak di sekolah yang mengandungi proses bagi mengenal pasti buli, cara pelaporan, pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti agensi-agensi mahupun perkhidmatan atau khidmat sokongan yang ada.
Pada peringkat kementerian pula seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menjalin kerjasama melalui Strategi Lautan Biru (NBOS) dengan pihak sekolah untuk mengadakan program-program keselamatan kanak-kanak seperti advokasi Program Sahabat Bijak, perkhidmatan kaunseling kepada semua ibu bapa dan penjaga, kanak-kanak bermasalah, menggalakkan penggunaan saluran Talian Kasih 15999 atau ChildLine hendaklah dilakukan dengan konsisten sebagai saluran untuk orang ramai melaporkan kes-kes buli. Selain itu, Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak dan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak bersama pusat-pusat Kafe@Teen boleh membantu menguar-uarkan isu buli. Tindakan awal dapat diberikan supaya isu buli tidak menular. Pasukan Kebajikan dan Pasukan Perlindungan Kanak-kanak seharusnya memainkan peranan pada peringkat komuniti supaya masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi dan membolehkan hubungan antara agensi, komuniti, ibu bapa dan penjaga serta kanak-kanak secara bersepadu untuk mencegah isu penularan kes buli di sekolah. Natijahnya, gejala buli akan meningkatkan kadar budaya gengsterisme kerana kedua-duanya mempunyai hubungan perkadaran terus yang sangat sinonim. Dalam lain perkataan, peningkatan insiden-insiden buli akan secara tidak langsung menyuburkan budaya gengsterisme. Justeru demi kebaikan semua pihak, sudah tiba masanya pihak kerajaan mengklasifikasikan perbuatan yang tidak sihat ini sebagai salah satu musuh yang perlu diperangi habis-habisan demi menyelamatkan masa hadapan bakal pemimpin negara.
Sumber:
Gejala Buli Semakin
Membimbangkan, Dewan Siswa, Julai 2015
Buli: Tanggungjawab
Semua, Utusan Malaysia, 18 Jun 2017
Comments
Post a Comment