Abah

          Aku lihat gambar itu, pemandangan di kebun getah. Satu perasaan menyelinap masuk perlahan-lahan ke dalam diri aku. Aku bezakan dengan diriku. Hari-hari aku merungut. Hari-hari, hidup dengan keluh kesah. Aku letih. Aku risau. Aku takut. Takut kenapa? Duit yang aku ada, duit yang aku pegang saban bulan hanya mencukupi untuk hidup sebulan. Sampai-sampai, aku berjodohan dengan sekeping gambar foto tersebut. Lalu, aku ingat. Aku fikir.
          "Musim luruh dah dekat. Kita nak makan apalah... " kata abah.         
          Aku fikir lagi, apakah rasa yang berada dalam poket perasaan abah? Hari-hari ke kebun getah. Hari-hari. Hujan atau tidak, itu bukan persoalannya. Seawal subuh. Torchlight jadi teman setia. Kokokan ayam pertama belum berbunyi, abah bersiap siaga. Dengan harapan, munculnya matahari pagi membekukan getah secepat mungkin kalau-kalau hujan petang nanti tidaklah berasa rugi. Apa abah peduli cakap-cakap orang. Orang hanya bising sepanjang masa. Selagi tidak menyusahkan orang, selagi itu tidak menjadi masalah kepadanya. Kalau rezeki baik, baiklah. Usaha penting katanya.
          Aku bayangkan lagi. Aku lanjutkan persoalan yang kian berakar. Kalau getah tidak keluar, anak-anak mahu makan apa. Sungguh, dulu aku tidak tahu darjah kerisauan yang bertunjang dalam diri abah, aku tidak ambil pusing setiap patah yang keluar dari ulas bibir abah terhadap ummi. Sekarang pun masih sama. Aku tidak tahu. Maaf, abah. Maaf. Sungguh, kalau Tuhan memberikan perintahnya kepada gunung untuk menghempap aku, aku rela sekiranya dosa-dosa yang aku lakukan diampunkan. Abah tahu kenapa? Kerana anak abah kian mengerti hidup di dunia.
          Abah tahu, harapan yang bersarang dalam diri anak abah yang degil ini hanya satu. Sempatkanlah anak abah untuk berbakti dan membahagiakan abah. Sempatkanlah anak abah untuk melihat abah cuci tangan dan berehat melihat dunia setelah dunia melihat betapa tabahnya abah memerah keringat merentas belantara dunia. Pastinya, abah menarik nafas lega. Anak-anak abah dah besar. Anak-anak abah cukup makan minum. Anak-anak abah pandai bawa diri. Berjayanya abah memukul perasaan malu aku. Berjayanya aku atas kasih sayang abah. Belum berjayanya aku, kerana tiada sekecil-kecil cebisan bahagia mampu aku hulurkan ke atas tapak tangannya yang kasar. Kerana tiada sekeping cerita mampu mengelap titisan air hujan yang membasahi hati abah yang kering.

Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

PERIBAHASA - BANDINGAN