Analisis Lengkap Novel Destinasi Impian


Sinopsis


Datuk telah mencabar Firdaus, Azlinda dan Johari untuk berbasikal ke Pantai Morid. Azlina dan Johari menerima cabaran itu. Firdaus turut tercabar apabila Azlina yang merupakan adik perempuannya menyahut cabaran datuk. Dia ingin membuktikan dia juga mampu melakukannya. Namun, Firdaus  menyesal sepanjang perjalanan. Padanya, ini idea gila dan membuang masa. Firdaus mengajak Johari dan Azlina membatalkan rancangan itu. Namun, Johari yang bertindak selaku ketua telah melakukan undian. Hasil undian tidak berpihak kepada Firdaus. Mahu tidak mahu, Firdaus terpaksa meneruskan rancangan tersebut walaupun hatinya terdetik perasaan menyesal.
                Pelbagai halangan terpaksa dihadapi oleh Firdaus. Sepanjang perjalanan, Firdaus merungut. Hatinya membengkak apabila basikal yang dinaikinya pancit. Malahan, dia turut terluka apabila basikal yang ditunggangnya tercampak ke atas tanah merah.  Tambahan lagi, Azlina selalu menaikkan kemarahannya dengan sindiran-sindiran tajam. Johari pula dilihatnya selalu memilih kasih kerana selalu berpihak kepada adik perempuannya itu.
                Terbit rasa bangga dalam hati Firdaus apabila berjaya sampai di Pantai Morib. Dia terkejut apabila disambut oleh rakan-rakan sekelasnya. Firdaus tidak menduga Sazali, Mokhsin, Salim, Mokhtar, Erma, Zarina dan Mazlinda benar-benar menantinya di Pantai Morid. Kebanggaannya kian tinggi apabila dapat membuktikan dia hebat. Firdaus juga tidak ragu-ragu mengaku dirinya tahu berenang di hadapan orang yang diminatinya, iaitu Mazlinda.
                Rakan-rakan kelasnya dapat menghidu penipuan yang dilakukan oleh Firdaus. Oleh itu, mereka telah memasang perangkap untuk menguji Firdaus. Mazlinda berpura-pura lemas ketika dipukul ombak. Jeritan Mokhsin supaya menyelamatkan Mazlinda mencabar Firdaus mengagahi dirinya untuk menyelamatkan Mazlinda bagi membuktikan dia tahu berenang. Firdaus malu apabila segala penipuannya terungkai apabila gagal menyelamatkan Mazlinda. Firdaus menyesal dengan kesilapan yang telah dilakukan terhadap orang sekelilingnya.


Tema

Novel Destinasi Impian mengarap tema jati diri remaja dalam mengharungi hidup.


Persoalan

  • Keberanian menyahut cabaran hidup
  • Kasih sayang adik terhadap abang
  • Ibu bapa yang terlalu sayang akan anak
  • Semangat setia kawan dalam persahabatan
  • Kepentingan membaca memperluas ilmu pengetahuan
  • Kepentingan sikap rasional dan bertolak ansur dalam menyelesaikan masalah
  • Keikhlasan memohon maat atas segala kesilapan yang telah diakukan

Latar


Latar Tempat
  • Selangor Darul Ehsan
  • Kampung Bukit Kapar
  • Sekolah Menengah Kapar
  • Pantai Morib
  • Rumah datuk
Latar Masa
  • Hari Sabtu
  • Hari Ahad
  • Pagi
  • Tengahari
  • Petang
  • Senja
Latar Masyarakat
  • Masyarakat yang ceria dan cergas
  • Masyarakat yang menghargai nilai kekeluargaan
  • Masyarakat yang tabah menghadapi cabaran
  • Masyarakat yang bertanggungjawab
  • Masyarakat yang bekerjasama
  • Masyarakat yang cepat berputus asa
  • Masyarakat yang berprasangka

Watak dan Perwatakan


Firdaus Mahmud
  • Abang kepada Azlina dan sepupu Johari
  • Anak kesayangan kerana merupakan anak lelaki tunggal daripada enam adik-beradik
  • Tinggi lampai, berambut kerinting halus, berhidung mancung, berkulit putih, bersifat keperempuanan
  • Angkuh dan penipu
  • Berfikiran negatif
  • Insaf setelah menyedari kesilapannya
Azlina Mahmud
  • Adik kepada Firdaus dan sepupu Johari
  • Murid tingkatan empat Sekolah Menengah Kampar
  • Olahragawati Sekolah Menengah Kampar
  • Periang dan cergas
  • Pandai berjenaka
  • Merendah diri
  • Penyayang
  • Peka dengan keadaan sekeliling
  • Kritis
  • Berfikiran positif
Johari
  • Sepupu Firdaus dan Azlina
  • Pelajar Universiti Putra Malaysia
  • Rajin membaca
  • Berwawasan dan berjiwa patriotik
  • Bertanggungjawab
  • Optimis

Plot


Disusun secara tidak kronologi kerana pengarang telah memasukkan unsur imbas kembali.

Permulaan
Firdaus mengajak Johari dan Azlina membatalkan rancangan berbasikal ke Morib kerana cabaran yang disahut oleh mereka bagi membuktikan mereka remaja yang mempunyai jati diri hanya usaha sia-sia.

Perkembangan
Firdaus terpaksa memilih untuk meneruskan cabaran itu walaupun hatinya berat kerana hasil undian yang dilakukan berpihak kepada Johari dan Azlina. Firdaus menghadapi pelbagai halangan sepanjang berbasikal bermula dari sikap adiknya yang gemar menyindir, tayar basikal pancit, terjatuh basikal. Johari tidak berhadapan dengan masalah kerana dia memang sukakan aktiviti yang mencabar. Azlina riang dan ceria sepanjang perjalanan kerana aktiviti begitu menyeronokkan.

Permasalahan
Firdaus mengambil keputusan untuk pulang sendirian walaupun sudah dipujuk oleh abang Johari. 

Puncak
Firdaus hampir-hampir lemas di Pulau Morib. Penipuan yang dilakukannya menjerat diri sendiri. Mazlinda telah menguji kemampuan Firdaus apabila dia berpura-pura tidak pandai berenang ketika dilambung ombak.

Peleraian
Bibit-bibit keinsafan mula terbit dalam hati Firdaus. Dia mengaku akan kesilapan yang telah dilakukan.


Teknik Plot


Dialog


“Kau mahu balik. Abang mahu kita teruskan perjalanan. Sekarang Lina menjani undi penentu.” Aku memandang Azlina. “Kaupilih balik atau teruskan?”

         “Perjalanan ini sungguh menyeronokkan, tak mungkin aku memilih untuk balik!”
Hal. 2

Imbas kembali

“Kalau orang perempuan mahu melakukan pekerjaan yang selalu dimonopoli oleh lelaki, dia mesti melakukannya dua kali lebih baik daripada lelaki; barulah kemampuannya diiktiraf.” Aku teringat akan kata-kata seorang peniaga wanita yang berjaya  ketika diwawancara oleh pemberita akhbar.

Hal. 15
Monolog dalaman

“Di tangan orang yang bijak bertani secara canggih, tentu sahaja tanah seluas ini akan mengeluarkan wang sehingga ribuan ringgit,” fikirku. 
Hal. 2
 “Peluh menitik sepanjang jalan,” fikirku sambil tersenyum sendirian. 
Hal.  24
Kejutan

Kemunculan rakan-rakan sekelas Firdaus di Pantai Morid, iaitu Moksin, Sazali, Salim, Mokhtar, Erma, Zarina dan Mazlinda. 
                “Hei, dia dah sampai! Dia dah sampai!”

                Aku terkejut. Suara siapakah itu? Aku seperti pernah mendengar suara itu.

                ”Dia dah sampai!”

                Tiba-tiba sahaja dari satu arah aku melihat Moksin, Sazali, Salim dan Mokhtar berlari kencang ke arahku.
Hal.  48
Saspens

Peristiwa Firdaus lemas kerana ingin menyelamatkan Mazlinda.

Imbas muka

Kawan-kawan datang dengan pakaian menarik di samping hadiah yang istimewa. Mazlinda yang sememangnya jelita itu pasti bertambah jelita apabila berpakaian baharu dan istimewa. Dia yang peramah dan murah dengan senyuman pasti akan melayani setiap tetamunya dengan mesra.  
Hal. 35


Gaya Bahasa


Sinkope

“Kita balik, bang.” Suara Firdaus begitu lirih seolah-olah untuk bersuara pun dia telah kehabisan tenaga.
Hal. 1
 Nak ambil gambar apa?” Aku segera bertanya. Hal.  4
“Diamlah kau!” balas Firdaus. Hal. 7

Repitisi

Kita perlu berani, perlu tabah, perlu sabar menghadapi semuanya itu.  Hal. 7
“Orang muda sekarang memang lemah. Lemah badan, lemah semangat. Tak lasak, tak tahan menghadapi dugaan. Atuk dah lihat banyak orang lelaki berlagak macam perempuan... .” Hal.  10

Simile

Malah, sendi-sendi lututku bagaikan mahu tercabut. Hal. 34
Debar di dadaku bagaikan hempasan ombak di pantai sana. Hal. 51
Aku berasa kata-kata itu tak ubah seperti satu pukulan kuat yang hinggap di mukaku. Hal. 87
Aku berasa bangga bagaikan setitik minyak jatuh ke permukaan air, mengembang seluas-luasnya dalam hatiku. Hal. 84

Personafikasi

Matahari yang semakin tegak tidak menunjukkan simpati langsung, memancarkan kepanasan yang membakar kulit. Hal. 8
Malam semakin tua Hal.  77

Hiperbola

Sebahagian daripada kepenatan yang semenjak tadi menggayuti tubuhku seakan-akan luruh. 
Hal. 48
Di sini aku telah bermandi peluh dan berpenat lelah kerana menyertai perjalanan gila ini, sementara di sebuah panggung di bandar Klang, Salim berseronok-seronok menonton wayang. 
Hal. 35
Angin kencang yang menampar-nampar muka bagaikan menyuntikkan kesegaran ke seluruh tubuh. 
Hal. 71
Aku berasa terlambung ke udara oleh kata-kata itu. Hal. 73

Peribahasa

kacang lupakan kulit 
Hal. 74
air muka Hal. 79

Paradoks

“Eloklah kauambil gambar bunga lalang tu. Itu lambang kekayaan orang di sini ... .” Hal.1

Metafora
rimba kehidupan Hal.24
kamar hati Hal. 46
gunung kebanggaan Hal. 48
gigi air  Hal. 83
kuntum keinsafan  Hal. 88

Bahasa Inggeris

no problem 
Hal.  55
camping  Hal. 58


Nilai

  • Kasih sayang – Ibu bapa Firdaus dan adik perempuan Firdaus, iaitu Azlina sangat menyayangi Firdaus.
  • Patuh – Azlina patuh akan arahan sepupunya, Johari yang membuat keputusan pulang ke rumah tanpa Firdaus walaupun hatinya dipagut perasaan bimbang tentang keselamatan abangnya.
  • Saling menasihati – Johari sentiasa menasihati Azlina dan Johari.
  • Bekerjasama – Rakan-rakan Johari bekerjasama sepanjang berada di Pantai Morib.
  • Keadilan – Johari membuat undian apabila Firdaus tidak mahu meneruskan perjalanan ke Pantai Morib.
  • Bertanggungjawab – Johari menuntun basikal Firdaus yang pancit sehingga menemui bengkel basikal.
  • Rajin – Johari rajin membaca buku berbanding menonton televisyen apabila ada masa lapang.


Pengajaran

  • Kita hendaklah rajin membaca demi mendapatkan ilmu pengetahuan – Johari rajin membaca buku berbanding menonton televisyen apabila ada masa lapang.
  • Kita hendaklah saling menasihati antara satu sama lain – Johari sentiasa menasihati Azlina dan Johari.
  • Kita hendaklah saling bekerjasama dalam sesuatu program - Rakan-rakan Johari bekerjasama sepanjang berada di Pantai Morib.
  • Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap saudara – Johari menuntun basikal Firdaus yang pancit sehingga menemui bengkel basikal.
  • Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga - Ibu bapa Firdaus dan adik perempuan Firdaus, iaitu Azlina sangat menyayangi Firdaus.
  • Kita hendaklah patuh arahan orang yang lebih tua – Azlina patuh akan arahan sepupunya, Johari yang membuat keputusan pulang ke rumah tanpa Firdaus walaupun hatinya dipagut perasaan bimbang tentang keselamatan abangnya.







Comments

Popular posts from this blog

Nilai dan Pengajaran dalam Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Karangan PT3: Karangan Pemerihalan/ Pengalaman/ Cereka

Karangan SPM - Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional