Karangan UASA Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3 - Pencemaran Sungai
Usaha Melestarikan Sungai; Sungai Diambang Bahaya Sungai merupakan nadi kehidupan kurniaan Allah yang paling bernilai kepada manusia. Khazanah ini perlu dipelihara kerana menjadi sumber bekalan air bersih kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Sungai juga menjadi habitat semula jadi kepada pelbagai jenis hidupan akuatik. Walaupun masyarakat mengetahui kepentingan sumber air ini, namun sumber alam tersebut kini di ambang kemusnahan. Keghairahan manusia mengejar kemajuan dunia dengan merancang dan melaksanakan projek pembangunan telah menjadikan sungai sebagai korban. Tanggungjawab manusia untuk memelihara dan memulihara sungai sudah tidak lagi mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Kesedaran masyarakat tentang kepentingan kebersihan sungai kian tandus sehingga masalah ini meruncing dan menjejaskan imej negara. Bahkan, pencemaran dan kekurangan sumber air dari sungai akan meningkatkan kos rawatan dan bekalan yang boleh membebankan masyarakat. Malahan, sungai yang kotor dan ti...